Monday, October 28, 2019

UZLAH







7 tahun yang terlalu sibuk dan bergelumang dengan kerja walaupun  di mata semua orang yang mengenali saya apa yang berlalu itu pasti ada ganjaran di sisi Allah kerana saya di medan pendidikan yang merupakan gedung pahala. Mengajar dan mengasuh anak-anak syurga yang kehidupan mereka disibukkan dengan al-Qur'an.  Saya juga berharap perkara yang sama semoga semuanya menjadi saham akhirat saya. Tidak kurang ramai yang menahan untuk saya kekal lagi berada di MASDAR dan belajar sahaja di Malaysia, banyak lagi universiti di tanah air sendiri. Betul memang banyak!😀 Tetapi yang mengenali saya sahaja akan kenal siapa saya dan bagaimana saya dengan MASDAR dan anak-anak di sana. Namun, itu bukan petanda saya sempurna, guru yang disayangi semua dan tiada kurangnya. Tidak sama sekali tidak! Saya yang paling dekat dan paling banyak masa bersama serta yang paling menyebelahi merekalah yang akan paling tampak kekurangannya. Terlalu banyak yang kurang, itu pasti. Setiap kali nak SPM pasti akan ada ucapan maaf sebab terkutuk, tak puas hati, biasalah Zah manusiakan selalu ada rasa macam-macam, dulu benci giler dengan Zah.💔 Haha, broken ke? Tak lah, kita semua manusia tiada yang sempurna terutama kalian yang hadir untuk dididik jika ada yang salah pada kalian, kesalahan itu disebabkan Zah yang tidak mendidik dengan acuan yang benar. Maafkan Zah atas segala kekurangan dan kelemahan yang ada. 

Maaf penulisan malam ini agak bermosi kerana badan telah terbaring sambil mendengar 
'Talk Nouman Ali Khan dalam channel FreeQuranEducation". Tiba-tiba ada sesuatu yang menjentik saya dan terus saya bangun dan membuka laptop, duduk di meja study dan cari blog kemudian menaip. Asalnya juga nak cerita tentang tanggapan 'rakyat Malaysia tentang Turki yang sekular, dan adakah saya bersetuju atau menyangkalnya" tetapi yang itu perlu ada penelitian sedikit kerana isu agak sensetif. So, saya cut line and start dengan this one dulu la ye. Penulisan untuk entry ini pun tidak skema seperti sebelumnya, lari key sikit.

Sebenarnya rumah itu adalah sekolah pertama untuk siapa-siapa pun yang bergelar manusia. Alhamdulillah dalam sekolah pertama yang saya lalui, saya dihidangkan dengan cara mak dan ayah bermuamalah. Dengan cara mak menyantuni abang setiap kali dia pulang bercuti panjang ke rumah dari zaman di MATRI hinggalah sekarang ayah kepada 5 dara. Waktu malam atau terluang akan berkongsi cerita dengan mak tentang pelbagai permasalahan baik di tempat kerja mahupun permasalah ummah. Sehingga pernah sekali suatu ketika dahulu saya membaca satu surat berbentuk teguran yang abang hantar kepada mak. Mak tenang sahaja menerima teguran anaknya. Saya ingat hingga sekarang, memang family kami banyak main surat menyurat. Panjang pulak melalut, tetapi nak tekankan di sini yang didikan ini berulang saat saya bersama pelajar. 7 tahun menjadi guru, tukang masak, warden, doktor, jururawat, driver, coach sukan, kakak, mak, ayah dan teman selalu sahaja mereka akan dimarahi, kadang-kadang dibelai dan disantuni. Jadi pernah saya mendapat surat berbentuk teguran, pernah juga ditegur face to face tetapi semua itu diterima dengan keterbukaan 🙆

Kini, baru saat ini saya melepaskan mereka dan meninggalkan mereka jauh berjuta kilometer. Hati mana yang tega, jiwa mana yang tidak rawan menanggung rindu. Tapi pesan mak saya pegang, walau di mana kakak pergi, kakak perlu terus meniupkan semangat dalam jiwa mereka. Beri perangsang untuk kerja buat mereka dan jadi pendengar yang baik buat mereka. Mereka anak muda yang perlu diberi kasih sayang dan kekuatan. Terima kasih mak kerana sentiasa ada dan menyokong kerja buat serta cita-cita saya. Dari kejauhan saya melihat kematangan mereka mula terbentuk, dari kejauhan saya menghantar salam penghormatan, dari kejauhan saya menghantar bisikan dan rahsia kejayaan dalam perniagaan, dari kejauhan saya mendapat cerita-cerita dan khabar gembira. Sesungguhnya jarak itu bukan ukuran kerana jiwa kita sentiasa menghubungkan. Teruskan maju, cemerlang dan berjuang sehingga kita memegang berdera kejayaan atau kita syahid di medan perang.

Sungguh, matlamat saya ke sini untuk menyambung pengajian master bukanlah matlamat utama kerana keutamaannya untuk saya merasai nikmatnya menjadi rakyat Turki di bawah pemerintahan hero islam seDunia, untuk saya mendalami sejarah kegemilangan islam suatu ketika dahulu, untuk saya dengan penuh pengharapan menjadi salah seorang yang memberi saham kepada kebangkitan islam seterusnya, untuk saya mendalami ilmu din dan ilmu haraki dalam memperjuangkan din Allah ini, untuk saya memperbaiki Qur'an saya, untuk saya melengkapkan kelopongan puzzle sejarah islam di Nusantara, untuk saya memperbaiki diri saya dan membina semula diri saya supaya title murabbi mithali yang dinyanyi-nyanyikan setiap hari ahad itu matching dengan saya. Alhamdulillah, hajat saya master sahaja, namun mak telah  memberi green light untuk saya berjuang hingga PHD. Terima kasih sekali lagi mak dan ayah atas kepercayaan dan doa yang berterusan buat kakak. Terima kasih juga abang atas doa dan harapannya yang besar.  Posting yang di share di laman FB ini juga sangat memberi semangat " semoga adikku menawan Istanbul bukan ditawan semangatnya. Semoga dapat bertemu dengan guru-guru hebat untuk mempelajari al-Qur'an dan as-Sunnah. Terakhir semoga bantuan Allah bersamaku dalam ditarbiyah dan mentarbiyah dan semoga kematangan yang ada ditambahi dengan tawadhuk dan zuhud yang tinggi." Semoga doa-doa mereka menjadi penguat langkah saya. Semoga Allah kabulkan semua doa-doa mereka.

Apabila langkah yang kita buka ada bersamanya matlamat dan garis panduan yang jelas, Allah akan dorong jalan untuk kita cari dalam menerokai kebaikkan itu. Telah saya lalui kehidupan diperantauan ini selama 1 bulan setengah, masih terlalu baru dan masih banyak yang belum saya tahu. Pusing Istanbul sekalipun belum selesai lagi jadi sehingga selesai nantinya saya menjelajah ke kota paling tercorok di pelusuk Turki ini pun tiada hak untuk saya mendabik dada yang sayalah orang paling layak berkata-kata. Sesekali tidak!

Sekadar perkongsian dari kembara ini, alhamdulillah Allah benar-benar menjawab semua doa saya. Satu persatu yang saya listkan untuk saya capai dalam tempoh setahun pertama saya di sini telah Allah kabulkan. Saya kongsikan di sini untuk sama-sama kita menyakini yang Allah akan beri jalan kepada sesiapa sahaja yang berazam dan berniat untuk sesuatu yang baik dan yang mendekatkan dia dengan Allah.

1. Menguasai bahasa Turki
2. Mengikuti pengajian risalah an-nur
3. Talaqi Qur'an
4. Talaqi Kitab
5. Blogging
6. Youtuber (grouping)
7. Round Istanbul
8. Misi Kemanusiaan

Allah itu Maha Baik, Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Itu hajat yang diletakkan dalam masa 1 tahun tetapi Allah bagi lebih cepat. 1 Bulan setengah Allah telah buka jalan untuk kesemuanya. Maka yakinlah kita yang kehidupan ini sendiri adalah tarbiyah secara direct antara makhluk dan Penciptanya. Allah berfirman dalam hadith qudsi mafhumnya berbunyi :" Aku adalah seperti sangkaan hambaKu ke atasKu." Ini doa yang selalu saya ulang sebut, dan meyakini yang Allah pasti tidak sesekali memungkiri janjiNya. Sehingga saya tertunggu-tunggu bagaimana esok untuk saya lalui. Apa lagi surprise yang akan saya perolehi.

Kini rutin mingguan saya walaupun belum penuh seperti di Tanah Air tetapi telah terisi dengan wish list saya. Setiap isnin hingga khamis saya akan ke Fatih Sultan Mehmet (FSM) untuk kursus bahasa Turki saya. Pada hari Rabu petang bermula esok hari saya akan ke Sinan Pasa untuk diskusi Risalah Nur bersama kenalan baru dari Anadolu Universiti yang berbangsa Turki dan Korea. Ini antara yang saya sebut penyusunan Allah dan perancangan Allah itu lebih baik dari rencana kita. Saya hajat menguasai bahasa Turki sahaja tetapi Allah beri ruang untuk saya improve bahasa Inggeris dan juga bahasa arab sekaligus. 2 teman di kelas bahasa saya yang berbangsa Cina dan Tunisia lebih selesa berbahasa inggeris dengan saya dari bahasa lain. Saya mencari pengajian Risalah Nur dalam bahasa arab tetapi Allah mempertemukan saya dengan rakan-rakan baru yang berdiskusi tentang Risalah An-Nur dalam bahasa Turki dan Inggeris. Itu peluang untuk saya yang tidak boleh dipersiakan. Rumah saya juga sangat strategik kerana berada di tengah-tengah antara semua destinasi ilmu saya. Pada hari khamis selepas pulang dari FSM saya akan ke Mahad Ehlul Qur'an untuk talaqi kitab sirah dan pada hari sabtu untuk talaqi qur'an dan hifz. Ini hajat tertangguh, dulu berangan la nak grad sebagai hafizah bersama anak sulung MASDAR tetapi atas semua alasan yang dicipta akhirnya lepas 1 juzuk baqarah sahaja. Alhamdulillah, sekarang sudah mula menyemai untuk juzuk-juzuk awal. 

Bersyukur juga saya dapat terjun semula ke bidang penulisan ini walaupun secara santai dan tidak formal. Keinginan itu ada untuk istiqamah selepas pulang dari Sudan tetapi kesibukkan bekerja menjadi kekangan. Bukan mudah juga nak kembali menulis, kena paksa diri juga terutama menulis tentang pengalaman dan peribadi ini. Nak buat channel youtube pulakkan, memang bukan kekuatan saya la. Nak suruh bersajak atas pentas graduasi MASDAR tiada masalah la. 😍 Namun alhamdulillah, Allah bagi team work yang baik untuk saya. Bila saya bagi guide line dan masing-masing buat kerja mereka rasa terharu sangat walau video-video kami itu hanya biasa-biasa sahaja. Tunggulah dah mahir nanti! haha...

Misi kemanusiaan? Doakan jika berkelapangan insya Allah saya akan menyertai misi kemanusiaan musim sejuk nanti. Terima kasih kepada yang offer saya :)

Round Istanbul? Saya tidak mahu terlalu gelojoh, perlahan-lahan study sejarah dan roung the world Insya Allah. Duit pun belum masyuk lagi ni. Doakan Allah luaskan rezeki saya, semoga saya menjadi jutawan dengan jalan teraneh. Selepas asar di masjid tadi, saya dengar imam baca petikan dari ayat qur'an yang bermaksud : " Mahukah kalian Aku tunjukkan satu perniagaan yang akan menjauhkan kalian dari azab api neraka?" Semoga ini ilham tambahan untuk projek berikutnya.

Masa yang masih terluang juga boleh diisi dengan menafaatkan media massa dengan chanel-chanel yang bermanfaat, meneroka ilmu-ilmu baru dan isu semasa serta membina network dan jambatan perhubungan.

Akhirnya, alhamdulillah summa alhamdulillah peluang beruzlah ini benar-benar Allah dorongkan dengan kebaikkan yang banyak. Allah beri ruang untuk saya mula mengikuti siri tafsir abang dari episod 1 dan saya jadikan sebagai tugasan saya dalam diskusi saya bersama adik-adik di sini. Saya ini kena cari kerja kerana dengan 1 kerja saya akan dapat melaksanakan kebaikkan yang saya hajatkan. Contohnya : saya nak dengar siri tafsir abang lama dah tapi banyak sungguh alasan untuk saya sehinggalah saya buat satu team diskusi tafsir dan saya yang kena bagi talk. Jadi saya kena dengar dan saya kena sampaikan. Itulah cara saya nak disiplinkan diri saya dengan kebaikkan. Saya juga ada iklan dalam status saya untuk saya jadi kaunter pertanyaan bagi adik-adik yang ambil bahasa arab dan deniyah. Alhamdulillah ramai yang sahut dan saya pun boleh recall ilmu saya. So, terima kasih semua kesayangan saya . 

Semoga uzlah saya ini diterima Allah dan semoga semua doa yang baik-baik dari semua kesayangan saya diangkat Allah dan dijadikan kami hamba yang bertaqwa. Amin.

salam sayang dari saya yang dikelilingi Tembok Penawan Konstantinopel!
29 Oktober 2019
4:46am Malaysia
Cuti Cumhuriyeti Turkiye :)

Nota :
1. ramai pulak yang whatapp mimpikan saya, dan semua mimpi itu memberi 1 pesan yang saya pulang ke MASDAR untuk bertugas sebagai pengurus SPM dan sebagai tenaga di MASDAR. Insya Allah itu tanda yang jasad saya sahaja terpisah tetapi hati saya masih bersama dalam perjuangan adik-adik di sana. Semoga MASDAR terus maju sebagai institusi pendidikan islam yang terbaik. Allahuma amin.

2. jika ada yang bertanya sesuai ke Turki sebagai tempat menyambung pengajian bahasa arab dan deniyah? 
Jawapan saya: 
1. Bacalah entri saya di atas dan sebelum-sebelum ini
2. Penduduk Syria lebih dari 1 juta orang ada di Turki
3. Selain Syria, Jordan, Mesir, Lubnan, Tunisia, Saudi dan arab-arab lain juga mula berhijrah ke Turki
4. Pengajian-pengajian kitab ada di masjid-masjid terpilih
5. Perkara paling penting, diri sendiri perlu jelas apa hajat dan matlamat yang dia gariskan



No comments:

Post a Comment

Terdidik melalui ayat-ayatNya

  Pengajaran lalu membuatkan jari jemari terus manggapai laptop saat minda terilham idea. Melihat baby saya yang baru berusia 1 bulan 20...