Sunday, September 29, 2019

Sudan VS Turki


Mula korang baca entry kali ini korang kena bayangkan Sudan pada 2007 -2012 dan Turki untuk pendatang baru yang berusia 2 minggu ya. Mungkin tidak banyak sedikit akan tampak bezanya di Sudan sekarang. Gambaran awal ini hanya mahu kita semua menjadi adil dalam menilai.👶

Selama 5 tahun 5 bulan di Sudan terlalu banyak pengalaman yang saya perolehi bergaul dengan komuniti besar dari Afrika, dan kumuniti kecil dari Arab, Turki dan juga Cina. Tempoh itu adalah tempoh membina keremajan diri. Susah payah yang dilalui, cuaca panas yang menggila, dan tumpuan utama untuk pelajar hanyalah untuk belajar kerana Sudan bukanlah pusat pelancongan. Sehingga kami menggelar bumi Sudan ini sebagai bumi tarbiyah, bumi didikan roh, akal dan mental. Jika mahu menyambung pengajian ke Sudan hanya ada 2 tips utama sabar dan terus bersabar. Jika kalian mampu bertahan dengan cuaca panas sepanjang tahun yang suhu biasa-biasanya ialah 40-46c insya Allah kalian akan mampu bertahan lama di sana.

Baru 2 minggu saya di Turki mungkin tempoh ini terlalu awal untuk saya buat perbandingan. Namun telah banyak yang saya rasakan kelainannya. Andai suatu ketika nanti saya merasakan telahan pertama saya salah akan saya karang entry baru yang menyangkal telahan pertama ini.😍

1. Cuaca
- Terlalu ketara perbezaan cuaca antara Turki dan Sudan. Turki negara 4 musim yang boleh dikatakan sejuk sepanjang tahun, kipas atau aircond diperlukan ketika musim panas sahaja. Sudan negara yang terlalu panas. Sepanjang tahun jugalah kepanasan itu akan dirasai. Panas yang melampau itu membuatkan budaya rakyatnya tidur di luar rumah beratapkan langit sebagai bumbung. Hatta kami pelajar perempuan juga pernah mempunyai pengalaman yang sama. Itupun kerana jiran sebelah rumah meyakinkan yang kawasan itu selamat andai ada apa-apa yang mengancam jerit dan dia ada pistol untuk menembak😖. Panas Sudan ini sehingga pada bulan puasa kami akan mengadap peti sejuk buka tutup buka tutup untuk berkongsi kesejukkan kuasa peti itu. Ada juga yang tidak tahan sehingga membasahkan tilam untuk tidur. Alhamdulillah saya bertahan untuk 5 tahun setangah, abang saya paling lama antara kami lima beradik. Dia betah bertahan selama 8 tahun di sana. Tapi, Sudan juga ada musim sejuknya sekitar Disember hingga Februari. Saya bagaimanapun lebih selesa di musim panas berbanding musim sejuk Sudan kerana musim sejuk lebih kering dan kulit akan cepat ada garisan luka.  Turki sekarang bermusim luruh, sehari 2 pernah terasa nikmatnya hujan saat Malaysia dan Indonesia dilimpahi jerebu. Tetapi belum kelihatan jelas guguran bunga dan dedaunan itu. Apa yang terasa ialah angin dingin yang menyapa kulit Malaysia kami. Musim sejuk akan tiba sekitar november sehingga februari. Saya harap kulit saya cepat sesuai dengan iklim di sini. 

2. Komuniti Manusia
- Di Sudan komuniti besarnya ialah Afrika. Mereka berkulit gelap. Sudan Utara yang majoritinya muslim juga jelas berbeza dengan Sudan Selatan yang majoritinya kristian. Orang Selatan lebih tinggi dan kurang rambutnya. Komuniti lain seperti Madagascar, Somalia, Kenya, Chad, dan lain-lain juga boleh saya buat perbandingan dari bentuk muka mereka. Cara dandanan rambut mereka dan pakaian mereka. Pendatang asing dari Turki dan Cina juga sangat ramai. Mereka ke sana untuk belajar bahasa arab dan juga merebut peluang perniagaan. Tapi saat dan ketika itu saya tidak pernah ada hati dan tidak terdetik pun  untuk mencintai bumi Turki walau rakan sekelas saya majoritinya dari Turki ketika tahun pertama saya belajar bahasa arab. Kini di Turki masyarakatnya berkulit putih, hidungnya mancung-mancung sekali. Setiap hari melihat permandangan indah ditambah pula dengan kecantikkan dan kehenseman prianya.💓 Komuniti luar seperti Uighur , Syria , Mesir, Jordan, Yaman juga ramai di sini.Untuk jangka masa sekarang hsaya hanya mampu membezakan Uighur sahaja daripada kelompok kulit putih yang ramai itu. Jika di Sudan saya pernah ditelah mereka sebagai orang cina, indonesia, Thailand atau Malaysia sendiri. Tetapi di sini telahan pertama mereka ialah Pakistan. Tanya seorang abla di dalam bas "pakistan?". Senyum saya sambil membalas saya Malaysia. Dalam hati saya memang ada darah bangladesh pun. Dari segi kulit Sudan dan Turki sangat berbeza boleh dikiaskan dengan warna yang ada pada taik cicak tetapi dari segi keramahan dan kebaikkan bangsa keduanya sangat baik dan mesra dengan cara mereka tersendiri. Tetapi yang lembut itu boleh beri anugerah kepada orang Syria la. Macam manapun masih ada tapi, Sopan santun orang Malaysia lebih"win" la.

3. Perumahan.
- Tidak banyak yang boleh diceritakan. Rumah di Istanbul lebih kurang dengan Khartoum. Rata-rata rumah mereka berbentuk apartment tetapi pastinya "design"dalamnya berbeza. Jika rumah sewa terakhir saya di Sudan di tingkat 2, rumah pertama saya di Turki di tingkat 5. Di Khartoum masih kelihatan banyak rumah setingkat tetapi tidak di Istanbul. Di Turki apartmentnya lebih tinggi berbanding di Istanbul. 

4. Sistem dan Pengurusan.
- Turki lebih moden daripada Sudan. Sudan menggunakan kertas sebagai sistem perekodan maklumat dan pengurusannya tetapi Turki lebih banyak menggunakan internet untuk semua urusan sehingga ke permit pelajar. Walaupun hampir 2 minggu urusan permohonan permit / visa pelajar (kursus jangka masa pendek) saya belum selesai kerana tidak pasti punca masalahnya di mana sehingga saat ini tetapi mereka tetap berusaha untuk memanfaatkan kemajuan tekonologi yang ada.😐.  Turki dan Sudan ada persamaan dari segi sistem penyampaian maklumat. Jika kita berjumpa dengan si A dan dia memberi arahan begini, kemudian awak berjumpa dengan si B pula dan arahannya berubah 100% itu perkara biasa. Jadi mahu atau tidak kita hendaklah ulang alik ke sana ke sini untuk menyelesaiakan urusan kita dengan jayanya. Dari segi disiplin bekerja orang Turki lebih berdisiplin dari orang Sudan. Orang Sudan akan selalu memanjangkan masa rehatnya dengan bersenang lenang dengan "syai cangkungnya". Tetapi Sudan tetap sesuatu di hati saya. Negara itu antara penyumbang besar kepada kemenjadian saya saat ini. Di sana saya belajar erti tawakal yang tinggi kepada Sang Pencipta langit dan bumi serta seisinya.


5. Pengangkutan.
- Turki terlalu maju ke hadapan. Jika dibandingkan dengan Malaysia juga terlalu jauh. Inikan pula Sudan. Pengangkutan awam di Turki terlalu banyak sama ada di darat mahupun di lautan. Harganya juga harga mampu naik terutama untuk kami yang bergelar pelajar di sini. Tetapi, dek kerana Istanbul ini adalah kawasan perlancongan dan peninggalan sejarah penting umat islam maka fikir-fikirkanlah sendiri memilih terperuk di rumah atau meneroka ke pelosok negerinya. Jika kalian memilih untuk meneroka maka 2.6lira x 360 hari minimum perjalanan pastinya jumlah itu akan meningkat tinggi. Nilai ilmu yang akan diperolehi tidak akan mampu dibandingkan harganya dengan nilai "para" (wang) yang dikeluarkan. Setuju?.   Jika merujuk gambar di bawah ini ada lebih dari 6 jenis pengangkutan awak yang disediakan sehingga Marmaray yang stesennya berada di bawah laut juga akan mengalami kesesakkan lautan manusia. Jika tidak silap saya penduduk Istanbul sahaja jumlahnya menyamai separuh penduduk Malaysia. Ramaikan! Ditambah pula dengan penduduk luar yang menumpang teduh di bawah langit yang sama ini. 

6. Rumput
- Turki dan Sudan berkongsi tabiat yang sama. Mereka sangat sukakan rumput. Pagi, petang siang malam mereka akan bertenggek melepak dan berkelah di ruangan yang dihiasi dengan rumput. Jika di Sudan berbaring di atas rumput tanpa lapik itu adalah perkara biasa tetapi rumput-rumput di Turki disediakan di atasnya kerusi-kerusi panjang. Jika ada yang mahu berkelah mereka akan bawa tikar bersama. Tabiat mengunyah kuaci di laman itu adalah kegemaran mereka mungkin Turki lebih ketara kerana kuacinya terlalu banyak dan bersepah dipasaran semasa. 

7. Pilihan Menjadi Kurus / Gemuk ?
- Pilihan ditangan kalian😉
Di Turki kalian berpeluang untuk kurus kerana apabila kalian menapak keluar dari rumah kalian pasti akan mengatur tapak sekurang-kurang 5000 tapak. Setakat hari ini apabila saya memilih untuk menghirup udara luar saya kan pulang dengan penuh kepuasan kerana jam saya merekodkan yang saya telah melangkah sebanyak 11000 langkah paling sedikit. Terima kasih tuan yang menghadiahkan saya "mi band" ini. Sangat bermanfaat. Masalah yang perlu dipertimbangkan juga di Turki ialah terlalu banyak makanan yang menyelerakan dan sesuai dengan tekak saya. Aiskrim, Pasta (kek), Ekmek (roti) yang pelbagai jenis dan menyelerakan, "dessert" yang mengiurkan, buah-buahan segar bugar, coklat dan kepelbagaian menunya amat membimbangkan. Huhu moga saya bisa mengawal nafsu makan saya dan kekal bertahan.
Peluang untuk mengekalkan berat badan yang ideal juga sangat tinggi kerana kalian akan berjalan banyak juga tetapi di sana ada "rieksha" (kereta tiga roda seperti di Indonesia dan Thailand) yang akan memasuki lorong-lorong kecil di kawasan perumahan. Jadi kami lebih memilih untuk menaiki rikesha sehingga ke pintu rumah. Turki tiada kenderaan sebegitu jadi tiada pilihan untuk kami melainkan perlu berjalan berkilometer jauhnya. Sudan jenuh dengan "kharuf"(kambing biri-biri)yang dipanggang di tepi-tepi jalan dan paling masyhur di "Kandahar" rasanya sangat enak sekali. Kharuf ini menjadi asbab kepada penambahan berat badan rata-rata orang melayu yang menetap di sana. 

8. Tragedi
-3 bulan pertama di Sudan saya dan teman dikejutkan dengan letupan bom di kawasan penyimpanan senjata akibat kepanasan yang melampau. Saat itu kami berada di asrama yang menempatkan ribuan pelajar perempuan dan kami bertiga sahaja dari benua asia. Cepat saya capai hp dan dail nombor abang.Abang memberi arahan untuk ke mana dan apa yang perlu dilakukan. Dalam minda berfikir adakah ajal akan terhenti di sini?! Namun ternyata Allah masih memanjangkan umur saya
 tiada sebarang kecederaan yang dilaporkan dari kawasan kami. 
- dan kini setelah 10 hari saya di Turki kami digemparkan dengan gempa bumi. Saya merasai gegaran saat menyiapkan entry kedua saya. itu gegaran paling lama dirasai. Kemudian gegaran kedua menyusul selepas setengah jam selama 2 saat. Saya dan Sarah mengambil keputusan untuk keluar dari bangunan rumah kami dan berkumpul ke kawasan lapang bersama jiran tetangga. 2 jam kami bersembang dan curhat di taman setelah dirasakan selamat kami pulang semula ke rumah. Pada sebelah malam kami mendapat amanat dari MASAT melalui pesanan IG dan Whatapp. Pasport dan keperluan penting kami letak di tepi bantal risau jika gempa berlaku lagi. jam 11.20pm hari yang sama sekali lagi gegaran kecil berlaku. Alhamdulillah kami semua selamat tanpa sebarang kecederaan.  Andai jasad ini mampu memberi saham besar untuk masa depan islam panjangkanlah umurnya Ya Allah. Kuatkanlah dia dan jadikanlah dia orang yang serius dalam gerak kerjanya dan ganjarkanlah dia dan keluarga besarnya dengan syurga firdaus. Amin😢

Cukuplah 8 dahulu. saya dan "team" akan ke Bahçelievler dan Avcilar hari ini untuk "shoting video" kedua kami. Doakan urusan kami dpermudahkan dan dapat berkongsi seberapa mampu kami bersama kalian walau di manapun kalian berada.

Lots of luv,
nurzah


Friday, September 27, 2019

First Impression



'Subhanallah" indah rupa dari khabar yang menyapa pendengaran saya. Hadir ke Turki ini dengan keterujaan yang berganda. Setiap saat bermunajat pada Allah agar rasa teruja itu tidak hilang dari jiwa, agar rasa itu kekal sehingga selesai "masuliyah" saya di sini. (kredit juga kepada Izzah Asri ;😉kerana turut berkongsi rasa yang sama dengan saya  ).

Untuk entri kali ini lebih suka saya untuk "highlight" kan "first impression" saya dalam bentuk "point" sahaja agar mudah dicerna penyampaian saya.

1. Permandangan harian saya yang cukup indah. Setiap pagi bila turun dari rumah persekitaran saya sangat mengasyikkan. Di pekarangan rumah saya sahaja terdapat 4 buah taman yang dihiasi dengan air pancut, kerusi-kerusi panjang dan ruang lepak yang dipenuhi oleh abla (mak cik-mak cik) dan ağabey (pak cik-pak cik) setiap pagi dan petang. Bahkan house mate saya cerita : pernah sekali jam 12 malam masih ketuk pintu rumah dan abla yang juga jiran sebelah rumah itu ajak ke taman untuk sembang-sembang sambil makan kuaci.

2. Saya bersyukur sangat kerana saya tinggal di kawasan "old town" yang merupakan kawasan peninggalan sejarah islam suatu ketika dahulu. Di belakang blok saya sahaja sudah kelihatan "tembok konstantinopel" yang panjangnya memagari kawasan Fatih di Istanbul.

3. Muzium-muzium bersejarah juga terletak berdekatan sahaja dengan tempat saya. Tetapi saya tidak terburu-buru untuk ke sana kerana bayaran masuk juga agak tinggi dan saya sendiri belum mula menelaah sejarah kegemilangan Turki satu per satu.

4. Kebajikan Kerajaan dan rakyat Turki kepada haiwan terutamanya kucing dan anjing juga amat mengujakan. Terlalu banyak kucing yang berkeliaran di bawah kawasan-kawasan perumahan tetapi kucing-kucing ini tidak akan kurus dek kerana lapar kerana terlalu banyak makanan haiwan yang disediakan di dinding-dinding apartment di sini. https://www.youtube.com/watch?v=x-h0wWay-Wg .
Saya tidak ingin bercerita panjang, untuk peminat "pet" boleh nantikan video kedua kami yang akan menceritakan lebih terperinci tentang kucing atau dalam bahasa turkinya di panggil "Kedi".


5. Hajat pertama saya ke Turki untuk menceburi bidang "pastry, bakery dan barista" tetapi hajat ini tidak menjadi keutamaan ketika ini. Namun realitinya, Istanbul dipenuhi dengan dengan "bakery" dan "pastry" yang sangat mengiurkan nafsu makan saya. Jika pulang ke Malaysia tanpa mengutip ilmu di dapur merea rasanya akan menjadi kerugian besar buat saya.

6. Pengangkutan awam sangat mudah diperolehi. Antara yang utama di Istanbul ialah bas, kereta api seperti LRT di Malaysia dan juga teksi. Di Turki kereta api dikenali dengan nama "Tram" landasannya di atas jalan raya dan diapit oleh laluan kenderaan darat lain  seperti kereta, motor, lori,bas dan lain-lain. Keretapi yang melalui laluan bawah laut dikenali sebagai "Marmaray". Feri juga menjadi laluan utama merentas Asia dan Eropah. Harga tiket untuk tram, feri, dan bas untuk sekali naik 2.6lira sahaja bersamaan RM 1.90 harga mampu naik la. Jika kita pelajar lebih menguntungkan kerana bayar separuh harga sahaja. Nak bayar pulak menggunakan "Istanbul Card" hanya perlu "touch" sahaja. Lebih terperinci akan menyusul dam video kami di "youtube channel". Jangan lupa subscribe ya. 😅

7. Boleh saya katakan Turki merupakan syurga buah-buahan dan sayur-sayuran. Kita boleh dapatkan buah dan sayur dengan harga yang cukup murah bila membeli belah di pasar basah mereka. Paling menjadi kegilaan kami ialah "üzüm" (anggur) kerana harganya yang sangat murah 1 kg = RM 3.70 dan "üzüm" hijau lebih sedap berbanding ungu.

8. Cuaca di sini sekitar 18 - 22C sekarang. Datang di musim luruh yang menghampiri musim sejuk pastinya mata paling seronok melayan gelapnya malam sehingga pagi juga terasa gelap sekali. Tetapi yang datang bersama saya semua kaki jalan maka setiap hari kami akan menapak paling kurang 1000 langkah. Terasa seperti peluang untuk menguruskan badan itu sangat mudah sekali jika anda bukan kaki makan. Ingat tu!

Note:
- "first impression" ini mengikut kaca mata saya dan detik hati saya kerana seperti yang saya cerita di entri yang lepas saya adalah seorang yang telah lama menyimpan cita-cita untuk sampai ke bumi ini.
- Tiada ke yang negetif ? semua nampak seronok dan mengasyikkan sahaja. Tunggu entri seterusnya dengan  tajuk Sudan VS Turki.
- Ini pandangan seorang yang melihat Turki Khususnya Istanbul dalam tempoh masa yang terlalu singkat iaitu 12 hari. 💗 Semoga pertambahan waktu dan umur saya di sini Allah terus menghidangkan perkara yang baik-baik buat saya jadikan bekal untuk dibawa pulang ke tanah air tercinta, Malaysia.


Wednesday, September 25, 2019

Hikmah Dari Kembara Ini














Setelah terpatri hajat untuk melanjutkan pengajian ke Sudan pada 2007 dahulu aku telah membuat "road tour" menziarahi sanak saudara, pak cik mak cik dan sahabat handal. Waktu itu fokus adalah untuk membina diri sendiri.

Setelah pulang dari Sudan saya ( setelah mendapat komen saya gantikan kata ganti nama aku ) bagai terputus hubungan dengan semua kenalan-kenalan lama saya.

Kemudian setelah 7 tahun bergelumang dengan bidang pekerjaan dan pelajar "part time" saya akhirnya tekad menjadi pelajar sepenuh masa semula. Andai ada rezeki di bidang pekerjaan semula ia akan menjadikan saya "full time student" dan pekerjaan menjadi sampingan sahaja.

Bila tekad telah dipegang saya perlu sekali lagi "road tour". Kali ini saya memilih untuk menjelajah 1 Malaysia kerana pemergian kali ini meninggalkan lebih ramai kesayangan saya. Saya sempat mengadakan beberapa "liqa" dari Perlis hingga ke Johor. Alhamdulillah Allah mempermudahkan perjalanan saya secara solo dan berkumpulan. Terima kasih kepada Mak Tam, B.Cik dan Arifah yang bersetuju bersama saya ketika jelajah ke pantai timur selama 3 hari 3 malam.

Di akhir-akhir masa saya di Malaysia, Allah merancang dan mempertemukan saya dengan madam-madam yang sangat banyak membantu saya ketika saya berada di Sudan. Perancangan Allah itu bahkan lebih beribu kali baik dari apa yang ada dalam kepala saya. Kawan-kawan seangkatan di MATRI juga menghubungi saya dan mengaturkan sebuah pertemuan malam sebelum keberangkatan saya ke Turki. Hampir 13 tahun saya tidak bersama mereka dalam pertemuan-pertemuan yang mereka susun.

Maha baiknya Allah kepada saya!

Saya merancang untuk ziarah pelajar-pelajar saya yang telah 7 tahun saya jaga makan minum, sakit demam, akademik dan kebajikan mereka. Tetapi Allah beri saya dan hadirkan kembali kepada saya semua kenalan-kenalan dan kesayangan saya selama usia kehidupan saya. Alhamdulillah hampir ke semua mereka sempat saya jumpa dan saya ziarah serta bertanya khabar sebelum saya berlepas ke Turki.

Inilah hikmah besar yang saya rasakan dari kembara panjang kali ke 2 ini. Nikmat silaturrahim kembali terjalin. "Contact List" di hp saya semaik bertambah. Bilangan yang mengikuti status saya juga bertambah. kenalan di FB juga meningkat. Jadi fahamlah saya yang pemergian kali ini mewakili ummah dan perlu membawa pulang sesuatu yang lebih besar untuk ummah.

Semoga Allah pinjamkan saya kekuatan ini dan berikan saya kesihatan yang baik serta jauhkan saya dari segala bentuk kejahatan untuk saya sentiasa semangat dan kuat untuk menghabiskan perjuangan baru di bumi Uthmaniyah ini.

Moga saya menjadi salah satu dari tangan-tangan yang menyumbang kepada kebangkitan Islam di Nusantara nanti dengan mengutip hikmah dari sejarah kebangkitan islam di Tanah Uthmaniyah ini.

Friday, September 20, 2019

7 tahun membina impian




Aku anak pengembara. Mungkin title itu membuatkan aku tidak betah lama untuk bertapak di tanah air. 5 tahun 1/2 ( 2007 - 2012 ) aku menjadi pengembara di tanah gersang Sudan atau lebih tepat kami namakan bumi tarbiyah. Rata-rata yang belajar atau pernah menjadi pengembara di sana mengatakan : "Siapa yang bisa hidup di bumi itu pastinya bisa hidup di mana-mana sahaja kelak nanti." 

Tahun 2012 aku pulang ke tanah air dan selepas 2 minggu berada di tanah air, aku mendaftar diri ke Maahad Tahfiz Sains Darul Muttaqin (MASDAR) sebagai guru dan warden. Pada november 2013, pengkhabaran syahidnya arwah Ahmad Ammar sangat memberi kesan kepada jiwa remajaku. Disusuli pula dengan kebangkitan Erdogan dalam membina negaranya Turki. Itulah detik pertama aku menanam azam untuk menyambung pengajianku ke Turki. 

Aku orangnya bila bercita-cita akan usaha semaksimumnya untuk menggapai apa yang diinginkan dengan keyakinan yang Allah itu pasti akan memberi jalan bilamana jalan yang dipilih itu adalah untuk mendekatkan diri kepadaNya. Lalu aku kongsikan bersama adik-adik pelajarku yang telah aku upgrade title mereka menjadi teman karibku. Sejujurnya aku juga telah "lost contact" dengan majoriti kenalan persekolahanku dan kenalan-kenalanku di Sudan. Semua masa,tenaga dan wang ringgitku aku berikan kepada MASDAR. Aku juga mungkin boleh dikenali sebagai "workarholic" kerana walau Changlun dan Sungai Petani itu jaraknya hanya 1 jam 15 minit sahaja tetapi boleh bilang berapa kali aku pulang ke rumah. 

Maka dalam hajat dan keinginanku untuk menyambung pengajian ke Turki, aku selalu dikalahkan dengan rasa cinta dan sayangku kepada adik-adik didikku di MASDAR. Setiap tahun mereka akan ulang ayat ini : "tunggu kami habis tingkatan 5 dulu, Zah" ( panggilan manja dari maksud asal ustazah) Impian yang tertunda atas pujukan mereka itu tidak pernah malap dari hatiku. Sehinggalah 1st batch MASDAR itu menginjak ke tingkatan 5. Waktu itu perancangan yang asalnya mahu melanjutkan pengajian master ke Turki secara solo telah bertukar menjadi lebih menarik! Kami mula membina kumpulan dan merancang, hasil angan-angan yang ku ulang-ulangkan bersama mereka telah menyuntik semangat mereka bersama untuk meneruskan pengajian bersamaku ke Turki. Mereka berjaya memujukkan dan membuatkan hajatku tertangguh selama 4 tahun. 

Pada 2016, aku mendapat khabar bahawa pengajian di Turki untuk Degre perlu melalui 12 tahun pengajian di Malaysia. Jadi tidak dapat tidak, pelajar-pelajar lepasan SPM perlu menyambung pengajian diperingkat pensijilan atau diploma terlebih dahulu sebelum ke Turki. Antaranya boleh menyambung ke tingkatan 6 (STPM / STAM) , Matrik , Asasi , atau diploma. Pengkhabaran ini aku sambut dengan aura yang positif dan tersenyum riang kerana aku masih boleh menjadikan ia alasan untuk aku kekal menjadi guru dan warden di MASDAR sambil menanti 2nd dan 3rd batch menyelesaikan pengajian mereka. Aku juga berpesan pada hatiku yang aku punya rencana untuk merancang masa depanku dengan menyambung pengajian diperingkat Master ke Turki tapi Allah juga punya rencana yang pastinya lebih baik dariku. Aku pegang kuat kata-kata yang aku sendiri utarakan : "Allah nak kau pergi dengan gerombolan yang lebih ramai untuk pulang membawa sesuatu yang lebih bernilai".

Jesteru itu, aku tajdid azam dan tekadku untuk melanjutkan pengajian ke Turki selepas 1st batch MASDAR menyelesaikan pengajian mereka ditingkatan 6. Semangat dan kesungguhan mereka menguatkan azamku! 

Pada 2017, aku telah dipertanggungjawabkan untuk mencari 4 orang pelajar lepasan MASDAR untuk ke Turki bagi mengikuti kursus syariah di sini dan pada tahun 2018 sekali lagi pelajar lepasan MASDAR seramai 3 orang diterbangkan ke sini untuk mengikuti kursus syariah kali ke 3 jika tidak silap hitunganku. Hati ini Allah sahaja yang tahu betapa terujanya aku. Namun aku simpan badai ombak yang memukul kuat itu di dalam hatiku tanpa di kesan mereka yang berada ditepian jasadku. 

Penghujung 2017 dengan kerjasama KTD KL, kami mengumpulkan seramai 25 orang untuk mengikuti kursus bahasa Turki yang diselia oleh "Yunus Emre". Kursus itu telah berjalan selama 1 bulan secara insentif. Saat dan ketika itu selama 1 bulan aku ulang alik setiap minggu dari Kedah ke kuala Lumpur. Keterujaan itu berganda-ganda bila aku dapati banyak words dalam bahasa Turki di ambil dari bahasa arab. Contohnya : " camI - jami' " dan "canta - syantah". Tetapi tanpa persekitaran bahasa itu ilmu yang ada tidak kekal lama. 

Bunga-bunga untuk sampai ke Bumi Uthmaniyah ini terasa semakin dekat. Aku dengan berat hatinya mula mengatur langkah secara perlahan untuk menjarakkan diriku dari adik-adik didikku di MASDAR. Aku mula menyuarakan hasrat untuk berhenti dari menjadi warden untuk melatih adik-adik warden yang lain pula membiasakan diri menggalas tanggungjawab wardenyang berperanan sebagai ibu bapa kakak dan teman kepada adik-adik asuhan mereka. Alhamdulillah hajatku diluluskan pihak pentadbiran. 3 bulan aku menggalas tanggungjawab menjadi warden sepenuh masa untuk kursus SMART (Sijil Menengah Agama MASDAR) menggantikan tugas yang kutinggalkan di MASDAR. Dengan saki baki khidmatku untuk tahun 2019, sempat aku menyusun beberapa buah program dan yang paling besar adalah "Andalusia Day" . Akhirnya untuk memberi ruang kepada diri sendiri bermanja dan berbakti kepada ibu bapa aku mempercepatkan permohonan cuti panjangku di MASDAR. Aku telah memohon cuti panjang selama 3 tahun setengah bermula 1 jun 2019 sehingga 31 disember 2022. Tarikh ini menggenapkan 7 tahun khidmatku di MASDAR. Alhamdulillah suka duka drama air mata dan semua mehnah yang ku tempohi dalam jarak masa yang panjang itu lebih mendewasakan aku. Semoga Allah mengira semuanya sebagai amal soleh dan amal qawie. Semoga dosa-dosaku juga diampunkan Allah dan aku amat berharap agar istighfarku sebagai hamba yang dhaif ini diterima Allah hendaknya dan digantikan dengan syurga firdausi. Amin. 

Kini aku punya lebih kurang 3 bulan bersama mak dan ayah yang tercinta. Alhamdulillah nikmatnya tidak terucap. Melazimi kembali rutin di rumah seperti dahulu kala, meyediakan santapan kepada mereka, membekalkan ayah kunyahan - kunyahan masa senggang, memastikan rumah dan dapur sentiasa dalam keadaan yang tersusun rapi dan menemani mak serta menjadi driver dikala aku punya kelapangan. tidak banyak yang dapat aku berikan jauh sekali untuk bisa membayar semua jasa dan keringat mereka. Namun aku bersyukur Allah berikan peluang sebentar ini untuk aku melunaskan hutang lamaku. Mak dan ayah adalah anugerah dan lambang kasih sayang Allah kepada kami. Mereka tidak pernah menuntut seperti ibu bapa yang lain. Bahkan mereka adalah tulang belakangku yang lebih utuh dari apa yang berpaut di jasadku sendiri. Pernah aku terdengan perbualan mak dan Nusaibah ketika dia pulang bercuti bersama suami. "Lepas ni bah tolong cuci balik ya, kakak baru je kemas semalam dah cuci calat dan dapur ni" . Seusai kuterdengarkan itu, aku terus berpatah balik ke ruang hadapan. Dalam hatiku menangis kesyahduan kerana tidak banyak kebaikkan yang aku berikan kepada mak dan ayah tetapi mereka tidak pernah memandang kejelikkan yang lebih banyak itu. Bahkan mengangkat kebaikkan yang sedikit. Allah aku mohon engkau panjangkan umur mereka dan kurniakan mereka kesihatan kerana kami sang anak masih memerlukan doa dan semangat jihad mereka untuk kami thabat dan kekal di jalan ini. Terima kasih Allah atas kasih sayangMu ini. 

Maaf teman, aku sedikit lari dari perbicaraan asal. 

Aku ada menceritakan pada perenggan di atas seramai 25 orang telah bersamaku mengikuti kursus bahasa Turki pada 2017. Alhamdulillah dari 25 itu Allah masih mengekalkan 7 orang dalam kumpulan kecil kami. Dalam 7 orang itu kemudian bertambah menjadi 10 orang. kami kemudiannya membina group whatapp dan kami saling memberi perhatian sesama kami untuk mengisi permohonan ke Fateh Sultan Mehmet. 2 daripada kami juga turut mengisi permohonan lain melalui Biasiswa Diyanet yang dibuka oleh kerajaan Turki. Dalam tempoh 3 bulan ini terlalu banyak rintangan yang perlu kami redahi. Setiap dari kami ada cerita tersendiri dan punya perjuangan yang berbeza untuk menggapai impian yang sama dan akhirnya Allah takdirkan 6 orang dengan restu kedua orang tua meneruskan perjuangan ini ke bumi yang mempertemukan 2 benua iaitu Asia dan Eropah.

Maka 15 september 2019 menjadi sejarah buat kami berlima menyambung pengajian ke bumi yang penuh dengan kegemilangan sejarah islam ini. Tiada kata yang mampu dizahirkan melainkan kesyukuran yang tidak terhingga kepada Rabb yang menyusun alam ini sehingga ke sekecil perkara disusun Allah secara rapi.

Seorang lagi dari kumpulan kami ( Fatimah Az Zahra Azizan ) akan berlepas tidak lama lagi tetapi destinasinya ke Ankara. Istanbul ke Ankara lebih kurang 5 ke 6 jam menaiki bas. Sama-sama kita doakan agar urusannya dipermudahkan. Allahuma Amin.

Yang terakhir sebelum saya menghabiskan entri kali ini, seorang daripada 25 orang itu telah sampai terlebih dahulu pada januari yang lepas dan dia Izzudin Khalis telah menjadi senior kami dan satu-satunya wakil rijal dari MASDAR. Insya Allah untuk tahun-tahun berikutnya akan berlaku pertambahan rijal. 💘.

Sehingga bertemu lagi di entri akan datang.








Terdidik melalui ayat-ayatNya

  Pengajaran lalu membuatkan jari jemari terus manggapai laptop saat minda terilham idea. Melihat baby saya yang baru berusia 1 bulan 20...