Friday, September 20, 2019

7 tahun membina impian




Aku anak pengembara. Mungkin title itu membuatkan aku tidak betah lama untuk bertapak di tanah air. 5 tahun 1/2 ( 2007 - 2012 ) aku menjadi pengembara di tanah gersang Sudan atau lebih tepat kami namakan bumi tarbiyah. Rata-rata yang belajar atau pernah menjadi pengembara di sana mengatakan : "Siapa yang bisa hidup di bumi itu pastinya bisa hidup di mana-mana sahaja kelak nanti." 

Tahun 2012 aku pulang ke tanah air dan selepas 2 minggu berada di tanah air, aku mendaftar diri ke Maahad Tahfiz Sains Darul Muttaqin (MASDAR) sebagai guru dan warden. Pada november 2013, pengkhabaran syahidnya arwah Ahmad Ammar sangat memberi kesan kepada jiwa remajaku. Disusuli pula dengan kebangkitan Erdogan dalam membina negaranya Turki. Itulah detik pertama aku menanam azam untuk menyambung pengajianku ke Turki. 

Aku orangnya bila bercita-cita akan usaha semaksimumnya untuk menggapai apa yang diinginkan dengan keyakinan yang Allah itu pasti akan memberi jalan bilamana jalan yang dipilih itu adalah untuk mendekatkan diri kepadaNya. Lalu aku kongsikan bersama adik-adik pelajarku yang telah aku upgrade title mereka menjadi teman karibku. Sejujurnya aku juga telah "lost contact" dengan majoriti kenalan persekolahanku dan kenalan-kenalanku di Sudan. Semua masa,tenaga dan wang ringgitku aku berikan kepada MASDAR. Aku juga mungkin boleh dikenali sebagai "workarholic" kerana walau Changlun dan Sungai Petani itu jaraknya hanya 1 jam 15 minit sahaja tetapi boleh bilang berapa kali aku pulang ke rumah. 

Maka dalam hajat dan keinginanku untuk menyambung pengajian ke Turki, aku selalu dikalahkan dengan rasa cinta dan sayangku kepada adik-adik didikku di MASDAR. Setiap tahun mereka akan ulang ayat ini : "tunggu kami habis tingkatan 5 dulu, Zah" ( panggilan manja dari maksud asal ustazah) Impian yang tertunda atas pujukan mereka itu tidak pernah malap dari hatiku. Sehinggalah 1st batch MASDAR itu menginjak ke tingkatan 5. Waktu itu perancangan yang asalnya mahu melanjutkan pengajian master ke Turki secara solo telah bertukar menjadi lebih menarik! Kami mula membina kumpulan dan merancang, hasil angan-angan yang ku ulang-ulangkan bersama mereka telah menyuntik semangat mereka bersama untuk meneruskan pengajian bersamaku ke Turki. Mereka berjaya memujukkan dan membuatkan hajatku tertangguh selama 4 tahun. 

Pada 2016, aku mendapat khabar bahawa pengajian di Turki untuk Degre perlu melalui 12 tahun pengajian di Malaysia. Jadi tidak dapat tidak, pelajar-pelajar lepasan SPM perlu menyambung pengajian diperingkat pensijilan atau diploma terlebih dahulu sebelum ke Turki. Antaranya boleh menyambung ke tingkatan 6 (STPM / STAM) , Matrik , Asasi , atau diploma. Pengkhabaran ini aku sambut dengan aura yang positif dan tersenyum riang kerana aku masih boleh menjadikan ia alasan untuk aku kekal menjadi guru dan warden di MASDAR sambil menanti 2nd dan 3rd batch menyelesaikan pengajian mereka. Aku juga berpesan pada hatiku yang aku punya rencana untuk merancang masa depanku dengan menyambung pengajian diperingkat Master ke Turki tapi Allah juga punya rencana yang pastinya lebih baik dariku. Aku pegang kuat kata-kata yang aku sendiri utarakan : "Allah nak kau pergi dengan gerombolan yang lebih ramai untuk pulang membawa sesuatu yang lebih bernilai".

Jesteru itu, aku tajdid azam dan tekadku untuk melanjutkan pengajian ke Turki selepas 1st batch MASDAR menyelesaikan pengajian mereka ditingkatan 6. Semangat dan kesungguhan mereka menguatkan azamku! 

Pada 2017, aku telah dipertanggungjawabkan untuk mencari 4 orang pelajar lepasan MASDAR untuk ke Turki bagi mengikuti kursus syariah di sini dan pada tahun 2018 sekali lagi pelajar lepasan MASDAR seramai 3 orang diterbangkan ke sini untuk mengikuti kursus syariah kali ke 3 jika tidak silap hitunganku. Hati ini Allah sahaja yang tahu betapa terujanya aku. Namun aku simpan badai ombak yang memukul kuat itu di dalam hatiku tanpa di kesan mereka yang berada ditepian jasadku. 

Penghujung 2017 dengan kerjasama KTD KL, kami mengumpulkan seramai 25 orang untuk mengikuti kursus bahasa Turki yang diselia oleh "Yunus Emre". Kursus itu telah berjalan selama 1 bulan secara insentif. Saat dan ketika itu selama 1 bulan aku ulang alik setiap minggu dari Kedah ke kuala Lumpur. Keterujaan itu berganda-ganda bila aku dapati banyak words dalam bahasa Turki di ambil dari bahasa arab. Contohnya : " camI - jami' " dan "canta - syantah". Tetapi tanpa persekitaran bahasa itu ilmu yang ada tidak kekal lama. 

Bunga-bunga untuk sampai ke Bumi Uthmaniyah ini terasa semakin dekat. Aku dengan berat hatinya mula mengatur langkah secara perlahan untuk menjarakkan diriku dari adik-adik didikku di MASDAR. Aku mula menyuarakan hasrat untuk berhenti dari menjadi warden untuk melatih adik-adik warden yang lain pula membiasakan diri menggalas tanggungjawab wardenyang berperanan sebagai ibu bapa kakak dan teman kepada adik-adik asuhan mereka. Alhamdulillah hajatku diluluskan pihak pentadbiran. 3 bulan aku menggalas tanggungjawab menjadi warden sepenuh masa untuk kursus SMART (Sijil Menengah Agama MASDAR) menggantikan tugas yang kutinggalkan di MASDAR. Dengan saki baki khidmatku untuk tahun 2019, sempat aku menyusun beberapa buah program dan yang paling besar adalah "Andalusia Day" . Akhirnya untuk memberi ruang kepada diri sendiri bermanja dan berbakti kepada ibu bapa aku mempercepatkan permohonan cuti panjangku di MASDAR. Aku telah memohon cuti panjang selama 3 tahun setengah bermula 1 jun 2019 sehingga 31 disember 2022. Tarikh ini menggenapkan 7 tahun khidmatku di MASDAR. Alhamdulillah suka duka drama air mata dan semua mehnah yang ku tempohi dalam jarak masa yang panjang itu lebih mendewasakan aku. Semoga Allah mengira semuanya sebagai amal soleh dan amal qawie. Semoga dosa-dosaku juga diampunkan Allah dan aku amat berharap agar istighfarku sebagai hamba yang dhaif ini diterima Allah hendaknya dan digantikan dengan syurga firdausi. Amin. 

Kini aku punya lebih kurang 3 bulan bersama mak dan ayah yang tercinta. Alhamdulillah nikmatnya tidak terucap. Melazimi kembali rutin di rumah seperti dahulu kala, meyediakan santapan kepada mereka, membekalkan ayah kunyahan - kunyahan masa senggang, memastikan rumah dan dapur sentiasa dalam keadaan yang tersusun rapi dan menemani mak serta menjadi driver dikala aku punya kelapangan. tidak banyak yang dapat aku berikan jauh sekali untuk bisa membayar semua jasa dan keringat mereka. Namun aku bersyukur Allah berikan peluang sebentar ini untuk aku melunaskan hutang lamaku. Mak dan ayah adalah anugerah dan lambang kasih sayang Allah kepada kami. Mereka tidak pernah menuntut seperti ibu bapa yang lain. Bahkan mereka adalah tulang belakangku yang lebih utuh dari apa yang berpaut di jasadku sendiri. Pernah aku terdengan perbualan mak dan Nusaibah ketika dia pulang bercuti bersama suami. "Lepas ni bah tolong cuci balik ya, kakak baru je kemas semalam dah cuci calat dan dapur ni" . Seusai kuterdengarkan itu, aku terus berpatah balik ke ruang hadapan. Dalam hatiku menangis kesyahduan kerana tidak banyak kebaikkan yang aku berikan kepada mak dan ayah tetapi mereka tidak pernah memandang kejelikkan yang lebih banyak itu. Bahkan mengangkat kebaikkan yang sedikit. Allah aku mohon engkau panjangkan umur mereka dan kurniakan mereka kesihatan kerana kami sang anak masih memerlukan doa dan semangat jihad mereka untuk kami thabat dan kekal di jalan ini. Terima kasih Allah atas kasih sayangMu ini. 

Maaf teman, aku sedikit lari dari perbicaraan asal. 

Aku ada menceritakan pada perenggan di atas seramai 25 orang telah bersamaku mengikuti kursus bahasa Turki pada 2017. Alhamdulillah dari 25 itu Allah masih mengekalkan 7 orang dalam kumpulan kecil kami. Dalam 7 orang itu kemudian bertambah menjadi 10 orang. kami kemudiannya membina group whatapp dan kami saling memberi perhatian sesama kami untuk mengisi permohonan ke Fateh Sultan Mehmet. 2 daripada kami juga turut mengisi permohonan lain melalui Biasiswa Diyanet yang dibuka oleh kerajaan Turki. Dalam tempoh 3 bulan ini terlalu banyak rintangan yang perlu kami redahi. Setiap dari kami ada cerita tersendiri dan punya perjuangan yang berbeza untuk menggapai impian yang sama dan akhirnya Allah takdirkan 6 orang dengan restu kedua orang tua meneruskan perjuangan ini ke bumi yang mempertemukan 2 benua iaitu Asia dan Eropah.

Maka 15 september 2019 menjadi sejarah buat kami berlima menyambung pengajian ke bumi yang penuh dengan kegemilangan sejarah islam ini. Tiada kata yang mampu dizahirkan melainkan kesyukuran yang tidak terhingga kepada Rabb yang menyusun alam ini sehingga ke sekecil perkara disusun Allah secara rapi.

Seorang lagi dari kumpulan kami ( Fatimah Az Zahra Azizan ) akan berlepas tidak lama lagi tetapi destinasinya ke Ankara. Istanbul ke Ankara lebih kurang 5 ke 6 jam menaiki bas. Sama-sama kita doakan agar urusannya dipermudahkan. Allahuma Amin.

Yang terakhir sebelum saya menghabiskan entri kali ini, seorang daripada 25 orang itu telah sampai terlebih dahulu pada januari yang lepas dan dia Izzudin Khalis telah menjadi senior kami dan satu-satunya wakil rijal dari MASDAR. Insya Allah untuk tahun-tahun berikutnya akan berlaku pertambahan rijal. 💘.

Sehingga bertemu lagi di entri akan datang.








1 comment:

Terdidik melalui ayat-ayatNya

  Pengajaran lalu membuatkan jari jemari terus manggapai laptop saat minda terilham idea. Melihat baby saya yang baru berusia 1 bulan 20...