Thursday, August 25, 2022

Perjalanan Menjadi Tetamu Allah


 Bersama 11 orang student Malaysia di Sabiha Airport, İstanbul


الحمد لله ثم الحمدلله
Seingat saya mengerjakan umrah dan menziarahi Mekah dan Madinah ada dalam wishlist sejak berumur 21 tahun ketika sama-sama menuntut di Sudan bersama abang.  Selepas abang dizinkan Allah mengerjakan haji dari Sudan niat itu semakin membara. Namun sehingga saya berjaya menamatkan pengajian selepas 5 tahun setengah di sana Allah tidak merezekikan saya menjejaki tanah haram itu. Hanya sekali saya direzekikan transit di Jeddah sebelum pulang ke tanah air. Saya senaraikan umrah sebagai salah satu doa yang ditangguhkan daripada 2 hajat besar dalam kehidupan saya sehinggalah selesai berkhidmat di MASDAR pada mei 2019. 
Atas janji bersama anak-anak didik pada September 2019 saya tetapkan kaki melangkah ke Turkiye  walaupun tawaran belajar belum saya terima. Umrah masih menjadi harapan walaupun duit belum berada dalam genggaman. Setelah hampir 3 tahun saya di Turkiye menghadapi onak dan duri kehidupan, covid 19, pengajian, kewangan. Isu ikametlah (resident permit) yang membawa saya kepada permulaan umrah.
Saya dan ikamet merupakan cerita yang tersangatlah panjang. Saat saya menulis, cerita ikamet ini telah pun sempurna semalam. Cerita ini akan saya lunaskan pada entri akan datang. Setelah pelbagai percubaan saya keluar masuk negara berkali-kali dan tidak berjaya akhirnya pada februari tahun ini saya terfikir  kalau saya pergi umrah dan saya kena band untuk masuk Turkiye dalam 3-4 minggu mungkin saya boleh survive di sana sebagai tukang masak kepada jemaah umrah dan haji atau apa-apa yang Allah izinkan. Dan mungkin juga ini jalan untuk saya bertemu sebentar dengan mak dan ayah memandangkan mereka juga akan mengerjakan umrah. Masa pun berlalu akhirnya mak dan ayah dijemput Allah pada bulan Sya'ban 1443h. Dalam tempoh 2 minggu mak dan ayah selesai umrah dan pulang semula ke Malaysia. Dalam perbualan melalui whatsapp yang menjadi rutin harian kami, mak selalu sampaikan yang mak dan ayah tak putus-putus mendoakan agar saya dan adik direzekikan mengerjakan umrah memmandangkan kami di Turkiye geografinya lebih dekat untuk menjejaki Kota suci itu berbanding dari Malaysia. Saya pegang doa mak pasti segera dikabulkan dan saya memuatnaikkan dalam kamus hati saya membawa adik bongsu itu sebagai amanah yang perlu dilunaskan. Dalam cerita kami sekeluarga angan-angan dan cita-cita berada jauh lebih tinggi dari wang ringgit yang kami punya. Saat itu saya tiada walaupun hanya RM 100. 
Adik-adik di Istanbul sudah lama bernyanyi dan menyuarakan hasrat untuk mengerjakan umrah tetapi saya biasanya akan berdiam diri dan melirikkan senyuman sahaja kerana dana saya belum ada. Tetapi atas motivasi mak saya terus menyuarakan dan membuka tawaran kepada adik-adik di Istanbul untuk mengerjakan umrah. Hasil persetujuan bersama adik-adik di FSM kami pun telah membuka group whatsapp.  Terjadilah perbincangan pertama kami secara face to face di depan Marmaray Station, Sikerci. 
Hasil perbincangan tersebut kami mula survey tiket flight ke sana. Alhamdulillah hasil keuntungan bisnes kargo pada mac dan april mampu menampung tiket flight Nafisah. Dalam fikiran saya andai Allah izinkan seorang sahaja sekurang-kurangnya adik saya yang akan pergi dahulu menyambut panggilan Allah. Kalau saya yang pergi dahulu pasti dia akan menanggung kesedihan berganda ditinggalakan di Turkiye. Tetapi Allah sentiasa ada dan mendengarkan hambaNya. Rezeki saya hadir dengan kelulusan duit simpanan akhir kwsp. Maka lunaslah 2 tiket flight kami berdua. 
Hal ikamet saya belum selesai di situ kerana selepas merujuk imegresen di Airport Istanbul saya perlu keluar lebih awal daripada apa yang saya rancang. Jadi kami susun lagi 1 trip ke Bulgaria. Alhamdulillah pergi dan balik tanpa membayar ceza(denda) tetapi sempatlah bersiar-siar bersama abang polis di sempadan Bulgaria Turkiye. 
Takdir Allah sehari selepas kepulangan kami dari Bulgaria Allah telah menjemput Ayah saya pulang ke sisiNya buat selama-lamnya. Satu pinjaman berharga dalam hidup ini  telah Allah tarik dari kami. Ini juga satu lauhan rasa yang saya hutang pada tahun ini. InsyaAllah rasa ini akan saya sematkan di dalam blog ini juga supaya ia tidak menghilang dan kebaikkan yang ada dikongsi. Kesedihan itu tidak dibiarkan lama kerana saya hanya diberi masa 10 hari untuk menyelesaikan isu ikamet saya. Dipendekkan cerita saya menghadapi kesulitan lain pula dalam proses mendapatkan ikamet tetapi disaat akhir Allah mendatangkan bantuannya maka umrah saya tidak lagi menjadi jalan keluar kepada isu ikamet tetapi ia merupakan tekad yang bulat dan solid untuk mempersembahkan ubudiyah kepada Allah semata-mata. 
Siapa sangka dan siapa tahu doa yang panjang itu dikabulkan dalam cara yang sangat indah dan cantik sekali. Berkah doaa mak ayah hanya selepas kepulangan mereka selama 143 hari sahaja kami berdua pula menyusul. Rezeki saya pada usia 35 tahun bersama adik bongsu saya pada usia dia 21 tahun dan itu merupakan hadiah kelahirannya yang sangat bermakna dari mak dan ayah. Andai Allah izinkan saya pergi lagi awal kemungkinan besar saya tidak dapat memaknai ibadah ini sepertimana yang saya rasai pada saat ini dan ia tidakan akan menjadi begitu bernilai seperti apa rasanya kini. Terima kasih Allah atas percaturan hidupku yang begitu indah.
6 ogos - 22 ogos telah menjadi antara sejarah terbaik dalam kehidupan ini. Hadiah yang cukup bermakna ini telah dilalui bersama 9 orang teman seperjuangan di Turkiye dan seorang tetamu istimewa dari Malaysia. Sesungguhnya aturan Allah itu pasti bukanlah yang terbaik buat hidup saya seorang. Ia juga merupakan aturan yang tersangat indah buat mereka kerana setiap kita ada cerita yang berbeza, perjuangan yang panjang dan akhirnya Allah satukan ceritera kita untuk kita berkongsi dan mendapat kebaikkan atas pengalaman kehidupan sesama kita. Manusia itu diciptakan berbeza untuk saling lengkap melengkapi dan menyempurnakan sesama kita.


Tentatif dan Kos perjalanan umrah akan menyusul di entri berikutnya. Berhenti untuk solat zohor seketika. Andai mood masih dalam track kita akan sambung hari ini juga insya Allah.

 Istiqamah itu sukar sebenarnya. Walaupun hanya untuk menjadi seorang penulis blog. Baru saya sedar ini entri pertama saya untuk 2022 setelah hampir 12 bulan berlalu dan menunda2.



No comments:

Post a Comment

Terdidik melalui ayat-ayatNya

  Pengajaran lalu membuatkan jari jemari terus manggapai laptop saat minda terilham idea. Melihat baby saya yang baru berusia 1 bulan 20...