Saturday, May 30, 2020

Kediler seviyorum

gambar latest : asalnya saya  tak boleh tidur. so pelan-pelan ambil toto bawa keluar nak lepak ruang tamu sambil menulis blog. Tapi tak sempat buka pintu Kiki dan Kibis dah jaga dan ikut saya keluar. Akhirnya terbaring di situ


Hari ini genap 1 bulan setengah saya membela sepasang kucing peninggalan junior di Istanbul yang  pulang "forgood" ke Malaysia pada 16 April yang lepas bersama rombongan pelajar Malaysia di Turki. Rombongan tersebut seramai 350 orang telah pulang dengan penerbangan Air Asia yang diuruskan oleh kerajaan Malaysia dengan kerjasama kedutaan malaysia di Turki dan persatuan pelajar Turki ( MASAT). Suka saya catatkan fakta ini sebagai catatan sejarah bahawa telah berlaku satu peristiwa (ujian) besar yang melanda  dunia dan menjejaskan banyak hal dari kenikmatan yang manusia kecapi sebelumnya. Cukup setakat ini!


Inilah cerita saya dan kucing parsi 

Potrait Aidilfitri 1441h

Sejujurnya saya bukanlah pencinta kucing sebelum ini dan bukanlah juga seorang yang alergik kucing atau benci pada mereka. Dalam keluarga memang saya sering melihat mak yang sarat dengan kasih sayang sama ada sesama manusia, haiwan atau persekitarannya sendiri. Jadi tidak hairanlah bila mak berbudi dan menyantuni kucing-kucing terbiar, ayam, lembu, itik, arnab, kambing dan lain-lain. Selain mak yang penyayang dengan binatang, adik saya yang kami gelar bang cik juga sangat penyayang dengan binatang terutama kucing. Jika anak perempuan saya nampak Nusaibah lah yang paling dekat dengan binatang peliharaan ini. Secara tidak langsung sebenarnya khudwah itu telah diserap baik. Itulah proses bukan hari ini awak bentuk suasana hari ini awak dapat natijah ya! Mungkin 1 tahun , 5 tahun, 10 tahun atau beratus tahun lamanya tetapi apa yang paling penting jadilah pemula kepada kebaikkan, pembentuk suasana.

Istanbul sebenarnya secara tidak langsung telah membentuk 1 rasa dalam jiwa saya  mencintai haiwan. Suasana Istanbul yang dipenuhi dengan kucing dan anjing dan kebajikan mereka dijaga oleh majlis perbandaran di setiap daerah bahkan rakyat mereka juga sangat perihatin dan cakna dengan haiwan ini benar-benar membuka mata  dan menyentuh hati saya. Tidak sekadar itu di sini juga terlalu banyak burung-burung yang berterbangan dan pasti ada sahaja roti serta bijirin khas yang disediakan untuk santapan mereka apabila menyinggah ke tanah. S bahawa inilahaya berkira-kira ini merupakan antara rahmat kepada bumi Turki ini atas asbab mereka menjaga kebajikan haiwan-haiwan yang ada.

Rupanya suntikan awal yang Alllah titipkan dalam hati saya ini ada sebabnya!

Allah telah menyusun saya tidak bersama rombongan pelajar Malaysia yang lain untuk pulang ke Malaysia disebabkan peningkatan covid yang mendadak di Turki tetapi Allah susun  saya untuk kekal di sini. Rupanya takdir itu menjodohkan saya dengan  sepasang Parsi di Istanbul. Saat saya bertemu mereka berdua si betinanya sedang bunting. Dalam fasa-fasa sarat mengandung itu dia seringkali muntah-muntah saya tanpa sekelumit rasa marah akan mencuci muntahnya, bahkan perasaan risau lebih merajai hati saya.  Dalam fasa ini tampak sang jantan lebih manja dan sering mencuri perhatian saya. Saya mula belajar berinteraksi dan menambah pengetahuan tentang pejagaan kucing, jenis-jenis mereka, ambil peduli tentang proses pembesaran mereka, jangka hayat dan 1001 fakta tentang mereka. Dalam pada itu juga saya mula membuat perhitungan bilakah masa kelahiran bayi-bayi baru yang dikandung si betina (Kiki) ini.

Tanggal 16 ramadan pada sebelah malam akhirnya Kiki telah selamat melahirkan bayi kembar 5. Alhamdulillah saya telah membuat persediaan awal dengan menyediakan kotak vakum sebagai "labour room" yang selesa untuk Kiki. Ini merupakan kali pertama saya menyaksikan secara real proses kelahiran seekor kucing. Kiki ditemani pasangannya Kibis dan saya sedikit sebanyak mampu mengurangkan kesakitannya ketika melahirkan. Melahirkan kembar 5 bukan mudah ya, memakan masa yang lama. Hampir 3,4 jam proses kelahiran itu berlaku dari seekor hingga 4 kemudian pada akhirnya selesai dengan 5 ekor kesemuanya.

Benarlah kasih ibu itu tiada tandingan !

Sifat ibu itu automatik terzahir pada diri kiki. Seusai melahirkan kesemua anaknya Kiki sibuk membersihkan anak-anaknya dengan menjilat mereka. Dia sendiri makan uri yang keluar bersama bayi-bayinya. Dalam masa yang sama juga bayi-bayi berbulu lebat itu terus menyonyot susu badan ibu mereka. Sempat saya menggosok-gosok kepala Kiki sambil membisikkan kepadanya : "ibu solehah dan kuat ni". Kibis juga merupakan seorang jantan yang sangat "gentle". Dia menemani Kiki sepanjang proses kelahiran serta menjaga Kiki lagak seorang "guard" di depan "ward" walaupun tiada musuh di dalam kawasan itu tetapi mungkin mereka pada awalnya beranggapan yang saya mungkin akan menjadi salah seorang pengancam kepada bayi-bayi mereka sedangkan dalam masa yang sama mereka tidak tahu yang saya juga merasa "insecure" dengan Kibis kerana berdasarkan pembacaan dan pengalaman saya,  bapa kucing ini selalunya akan makan anak dia sendiri. Tetapi rupa-rupanya telahan kedua-dua belah pihak salah sama sekali. menyedari keadaan itu, kami bersepakat untuk sama-sama menjaga dan membesarkan kembar 5 ini dengan penuh kasih sayang.

Hati saya selalu terusik melihat telatah Kiki yang sering berlari mendapatkan anak-anaknya ketika terdengar bunyi dentuman yang kuat. Kiki juga sering menukar tempat beradu anak-anaknya sehinggalah akhirnya saya membantu menyediakan tempat yang terbaik bagi fikiran saya dan dipersetujui oleh Kiki. Walaupun sehari, Kiki tidak pernah lupa menyusukan anak-anaknya sehingga susut berat badannya. Jika saya acah-acah menggangu ketika dia sedang menyusu walaupun mata  masih terpejam lagi tetapi tangan terlebih dahulu menahan tangan saya dan cuba menyelamatkan anak-anaknya. Sangat penyayang dan pelindung ibu ini. Tetapi semenjak anak-anaknya telah memasuki usia 2 minggu Kiki semakin menampakkan sifat manjanya dengan saya. Itulah fitrah semua yang hidup ingan disayangi dan menyayangi. Kini sudah 2 malam Kiki mengganggu tidur saya. Membangunkan saya di tengah malam untuk mendodoikan dia tidur. "Ouh anak kucingku!!! kerana sayang ku turutkan"


Proses Tumbesaran

 
follow la ig kami kibiskiki

Hari ini genap usia kembar 5 itu 3 minggu tetapi masih belum ada nama yang rasmi lagi. Hajat saya nak bagi nama mereka semua dengan pangkal huruf K untuk setiap satunya kerana nama ibu ayah mereka dimulakan dengan  K, saya sebagai ibu angkat juga K.Jadi sentimental la jugakan kalau mula nama mereka juga dengan K.  Dalam minda saya hanya ada perkataan Kucuk, Kuzey, Kuyu, Kisa. Belum cukup lagi 1 nama tetapi nama yang sedia ada pun saya tidak pasti nak beri pada siapa. Mereka kembar 5 ada seekor putih, seekor hitam tetapi ada 3 yang seiras. ketiga-tiga itu berwarna kelabu. Jadi kena tunggu besar sikit baru boleh beri nama yang tepat sesuai dengan fizikal dan perangai mereka. Sekarang ini sudah ada yang dah boleh panjat keluar dari pagar katil mereka. Waktu tidur pun sudah berkurangan daripada sebelumnya nak buka mata pun malas. Melihat proses pembesaran mereka daripada tidak boleh membuka mata, tidak boleh disentuh manusia, kemudian bertatih- tatih berjalan 2,3 langkah menapak kemudian jatuh kadang ke depan kadang ke belakang dan sekarang telah sedikit laju bergerak ke sana ke sini. Dalam sehari-harian saya bersama dengan mereka dari bangun pagi hingga tidur semula dan bangun lagi pada keesokkannya, saya jadi bermuhasabah dan menilai diri sebagai manusia. Kita juga melalui proses yang sama  sebagai manusia bezanya kita dikurniakan akal yang sempurna untuk mentadbir alam ini.

Dalam kehidupan di dunia ini  setiap satunya telah diatur dan disistemkan dengan sebaik-baik aturan tanpa sedikit pun  kecatatan. Kitaran hidup itu  tersusun rapi dan sangat indah sekali. Maha Suci Allah! Terlalu cantik susun atur-Nya. Benarlah yang membezakan kita dengan makhluk lain itu ialah akal. Akal yang Allah bekalkan ini mampu menjadi alat untuk kita dinobatkan sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini. Akal ini juga mampu mengangkat kita menjadi sebaik-baik ciptaan atau menjatuhkan kita menjadi makhluk yang paling hina, kerana itu Allah menyebut dalam al-Qur'an , dalam surah Al-Araf :179. Mafhum yang boleh kita faham : "Apabila kita tidak mengambil Islam sebagai cara hidup di atas muka bumi ini, kita boleh menjadi lebih teruk dari binatang". Akal yang dikurniakan Allah jika tidak dipandu dengan keimanan kepadaNya akan menjatuhkan martabat kita yang pada asalnya diangkat tinggi daripada makhluk yang lain. Ada manusia yang hilang sifat perikemanusiaannya sehingga sanggup berbunuh-bunuhan kerana harta, sanggup menjual anak dan isteri. Bahkan sehingga sanggup melakukan perkara-perkara yang binatang sendiri tidak sanggup melakukannya.

Sesungguhnya disebalik ujian itu ada 1000 rahmat, dan sesungguhnya masa itu juga sebahagian dari proses pembentukkan dan rawatan. Dan bahawa sesunggunya alam itu merupakan tanda-tanda kekuasaan, kebesaran dan kasih sayang Allah kepada hambaNya. Berbuat baiklah kita sesama manusia , kepada haiwan dan juga kepada alam sejagat. Semoga dosa-dosa kita yang telah berlalu yang sedang berlaku dan juga yang akan datang diampunkan Allah.

Kini saya ialah salah seorang pencinta binatang!!! 
😹😺😸😽 sehingga makan minum tidur dan aktiviti harian saya ditemani mereka... :)


Sunday, May 17, 2020

Dirilis Ertugrul



Turki kaya dengan peninggalan sejarah islam yang gilang gemilang suatu ketika dahulu. Sejarah / Sirah itu suatu subjek penting untuk kita ulang baca dan kaji kerana ia satu dari cabang pembelajaran dan pendidikan kita untuk meniti masa depan. Sejarah yang tidak diterjemahkan dengan bahasa yang betul dan bahan yang benar mampu melumpuhkan minda dan menyelewengkan kefahaman.

Kini rata-rata dunia membicarakan tentang siri sejarah Ertugrul yang mempunyai 5 season. Setiap season mencecah 85 - 99 episod. Setiap 1 episod memakan masa sebanyak 50 minit hingga 1 jam 15 minit lamanya jika anda menonton di Netflix. Selain Netflix, anda juga boleh tonton di youtube dan facebook tapi feel dia tidak seperti di Netflix la. Saya ambil masa 2 bulan untuk marathon siri ini. Awal-awal bermula dengan keterpaksaan kerana minda telah setting ini cerita sejarah tetapi bila mula menonton rasa ingin tahu melonjak naik dan mulalah fasa jatuh cinta dengan ketokohan Ertugrul dan ALPlar nya serta perjuangan kabilah Kayi dalam mempertahankan Islam dan membina empayar Islam dengan gigihnya.


Presiden Turki, Recap Tayyip Erdogan sendiri merupakan peminat series ini, hatta Presiden Pakistan dan Permaisuri kita sendiri menyeru rakyat di negara mereka untuk menonton siri ini. Benarlah kata Erdogan : "jika singa tidak menulis sejarah kegemilangannya, pasti ia akan menjadi serigala dalam sejarah orang lain". Saya juga ada bertanya dengan seorang kenalan / pelajar Indonesia di sini yang baru sahaja graduate degrenya dan sedang bekerja dan membuat kajian sejarah di sini tentang ketepatan fakta yang ditonjolkan dalam siri Ertugrul ini. Katanya : 70% fakta di dalam siri ini boleh diguna pakai, dan kerana ia merupakan penceritaan semula dalam bentuk drama pasti di sana ada sedikit tokok tambah untuk mencantikkan cerita.

Sedikit review saya dari siri panjang ini :

1. Dalam setiap generasi itu pasti akan lahir susuk kepimpinan yang unggul. Setiap kepimpinan itu memerlukan satu pasukan yang kuat.
Kita tidak akan mampu gagah berdiri sendirian, kita perlu bekerja dalam satu pasukan. Pasukan ini perlu dibentuk dari asasnya, perlukan keyakinan dan matlamat yang sama untuk kuat menempuh susah senang bersama sehingga akhirnya mencapai apa yang dihajatkan.

2. Perjuangan Rasulullah s.a.w , para sahabat, tabi' tabien dan para pejuang islam terdahulu sehingga islam sampai kepada kita adalah satu perjuangan yang sangat besar yang tidak mampu diganti dengan emas dan apa jenis kekayaan yang ada di dunia ini. Perjuangan mereka pastinya bukan sia-sia. Sama ada mereka menang menjulang syiar islam atau mereka mati mendapatkan syahid.
Melihat pertarungan mereka yang sangat banyak dalam siri ini memberitahu kita bahawa ruginya apabila manusia itu tidak mengucap kalimah syahadah, ruginya apabila manusia berpaling dari Islam. Ruginya mejadi pembelot pada perjuanga saudara seaqidah kita. Betapa beruntungnya orang yang berpegang dengan tali Allah dan menyerahkan seluruh kehidupannya untuk memperjuangkan din Allah.

3. Setiap dari kita ada peranan masing-masing baik lelaki mahupun  perempuan. Berdirinya seorang lelaki yang hebat itu dibelakangnya ada wanita yang hebat. Gandingan pasangan yang hebat ini menghasilkan generasi yang lebih hebat kelak.
Pembinaan rumahtangga itu bermula dengan pemilihan pasangan yang baik. Dalam siri ini ada 2 pasangan yang boleh dijadikan contoh. Suleyman Shah +  Heyme Hatun  dan Ertugrul + Helime Hatun. Daripada keturunan hebat ini juga hadirnya Osman Gazi yang membina sinar baru kepada tanah Turki.

4. Di medan mereka ialah pahlawan yang digeruni. Di luar peperangan mereka saling berkasih sayang dan sangat menyantuni.

5. Rasa takut mereka hanya kepada Allah semata-mata. Tidak sesekali gentar menghadapi musuh dan meyatakan kebenaran.
saat aku menghayati makna ini, aku bertanya imanku sendiri mampukan aku untuk seteguh mereka jika aku ditugaskan turun ke medan jihad mengangkat senjata disakiti dan tersakiti. Allahu, sungguh masuliyah dan tanggungjawab serta ujian itu hadir pada mereka yang selayaknya.


6. Ciri-ciri kepimpinan yang ada pada Ertugrul saat bersama musuh, keluarga, para tenteranya. Bagaimana dia bermuamalah dengan isteri, mendidik anak-anak bujangnya, meraikan perwira-perwiranya dan beliau sendiri telah menunjukkan contoh yang baik kepada kawan dan juga musuh sehingga dahulunya dia antara musuh yang paling durjana tetapi diakhir kehidupannya dia telah mengucap 2 kalimah syahadah dan berjuang bersama tentera islam dan mati syahid di jalan Allah.

7. Turki sejak dahulu lagi memang telah dikenali dengan kemahiran penghasilan permaidani/carpet dengan jahitan tangan yang sangat cantik dan kemas. Tidak hairanlah permaidani mereka mencecah ribuan ringgit.

8. Perjuangan dan kecekalan mereka yang tidak mengenal erti putus asa mampu menyuntik hati kita dan membuatkan cinta kita bercambah.

Selepas selesai tonton siri panjang ini anda akan semakin teruja melihat siri seterusnya bagaimana susuk gagah seorang Osman Gazi di usia keremajaan beliau sehingga beliau berjaya membina empayar Turki.

Setakat ini sahaja dahulu perkongsian saya selepas tertangguh 3 hari dari menulis review saya dari pengamatan saya sebagai penonton. Sedang menulis laptop sempat shutdown sekita habis melayang point penulisan saya. cukup 8 untuk dikongsikan bersama.

salam 24 ramadhan 1441h

Terdidik melalui ayat-ayatNya

  Pengajaran lalu membuatkan jari jemari terus manggapai laptop saat minda terilham idea. Melihat baby saya yang baru berusia 1 bulan 20...