Friday, August 26, 2022

Detail Budjet Umrah DIY


 Siri 2:

Perkongsian trip ini lebih sesuai untuk muda-mudi dan orang yang biasa backpack. 


Siri 1 belum selesai rukun umrah wajib. Selesai tawaf kami mengerjakan solat sunat di belakang makam Ibrahim dan meneguk air zam-zam sambil berdoa mengadap ka'bah. Rezeki sangat-sangat kerana jemaah tidak ramai. Masa kami sampai ni jemaah haji baru mula beredar dari mekah dan jemaah umrah baru mula masuk Madinah. So, 3-4 hari pertama kami di Mekah sangatlah tenang banyak peluang untuk solat di hijril ismail. Saya sendiri berpeluang solat di sana sebanyak 3kali. Nikmat air zam-zam juga sangatlah heaven. Bekalan 1 minggu di Mekah memang hidup dengan air zam-zam sahaja. Beli 1 botol putih penutup merah dan boleh tadah air zam-zam untuk buat stock balik hotel. Rasa air zam-zam pun tak sama dengan yang kita rasa di Malaysia. Tiada payau dan terasa sangat fresh. Ini nikmat untuk yang berada di tanah haram sahaja. Keluar pintu King Fahd kita kan terus menuju ke Safa wa Marwah. Naik turun bukit safa dan marwah lebih mencabar. Beribadah pada saat ini tidaklah mencabar seperti mana mereka yang terdahulu beratapkan mentari dan tanah gersang. Kita yang sudah dialas dengan lantai rata dan kipas dan aircond sepanjang safa dan marwa pun masih terasa letih dan penat. Malu sendiri! Semoga Allah menerima amal mereka yang terdahulu dari kita dan meminjamkan kita kekuatan untuk menjadi hamba yang bersyukur dan lebih bertaqwa mencari bekal amal soleh untuk dibawa mengadapNya. Selesai 7 pusingan. kami terus ke pinggiran bukit marwa untuk bergunting. Spare gunting dalam bag masing-masing. Ada juga yang ambil kesempatan sewakan gunting dengan harga yang tidak masuk dek akal. Maka selesailah umrah wajib kami yang pertama seumur hidup. Selesai umrah pertama kami terus pulang ke hotel untuk melepaskan lelah dan mengumpul tenaga semula bagi meneruskan baki 7 hari lagi di Mekah.



Bajet Terperinci Trip Umrah dan ziarah 17 hari. Boleh rujuk di bawah :
(Istanbul - Jeddah - Mekkah - Madinah - Jeddah - Istanbul)

1. Tiket Flight return :  RM 1300 - RM 1600

2. Visa Tourist : RM 600

3. Suntikan  Meningitis : RM 150 
(harga malaysia, suntikan ini digalakkan tetapi tidak wajib)

4. Transport di Saudi :
 Mekah & Taif  (8 hari ) : RM 240
 perincian harga transport mengikut tempat lawatan saya nyatakan dalam sar. Mudah untuk buat rujukan dan perbandingan nanti.
- Teksi Jeddah - Mekah : 55 sar
- Miqat Tan'im : 16sar X 2 (2x kami ke sana untuk miqat)
- Miqat Hudaibiyah : 24sar
- Ziarah Jabal Nur & Manasikh Haji : 24 sar
- Taif : 65 sar
 Madinah ( 6 hari) : RM 111
- Van Mekah ke Madinah : 73sar
- Uhud & Khandak : 20sar
Jeddah ( 3 hari ) : RM 217
- Train Laju Madinah - Jeddah (Sulaymaniyah) : 101sar
- Balat, Al-Hamra, Jalan-jalan cari makan, Shuttle ke Airport Jeddah : 80sar

5. Penginapan di Saudi :
Allah izin 3,3 hotel ni nama depa ar-raqi. tapi ada tambahan la pada setiap nama. Paling bajet di Madinah. Paling mewah di Jeddah tetapi wifi paling ok di Mekkah. Yang bestnya di Madinah hotel tu walaupun berada dalam kategori bajet tetapi untuk kami ia sangat dekat dengan masjid an-Nabawi.
Antara 3,3 ni service terbaik jatuh kepada Ar-Raqi Mekah! 👍👍👍

- Mekah & Taif  (8 hari ) : RM 315
- Madinah ( 6 hari) : RM 130 
(Hotel terpaling bajet)
- Jeddah ( 3 hari ) : RM 132

6. Perkhidmatan mutawif : RM 40
- kami hanya menggunakan perkhidmatan mutawif di Madinah sahaja. Di Mekah memang rezeki sangat dapat berkenalan dengan Abu Syakir dari Yaman yang telah menetap 15 tahun di Mekah. Kami kenal dia melalui pekerja di Hotel Al-Raqi. Abu Syakir membantu kami dalam pengurusan transport dari Mekah sehingga di Jeddah. Semoga Allah berkati dan balas semua kebaikkan antum.

7. Makanan dan shopping.
- Bergantung kepada individu. Kami datang dari Istanbul jadi kami banyak habiskan duit kepada minum minuman manis berais seperti teh ais, teh o ais. Hihi. Dalam masa yang sama kami selalu masuk ke BinDaood untuk mencari al Maraei dan seangkatannya. Saya juga ada berbelanja di baqolah Jamiah Madinah. Kedai runcit Indonesia & Filiphina. Hheaven sangat diorang ada banyak produk asia di sana. Untuk makan harian boleh dikatakan 4 - 5 hari awal kami banyak menadah tangan di hadapan masjidil haram untuk mengalas perut dengan makanan percuma. Selain itu kami turut merasa makanan pakistan di kafeteria berdekatan dan port fevret kami di Safwa Tower. Di sini ada ikhwan Global, satu-satunya kedai melayu Malaysia yang kami jumpa sepanjang di Saudi yang masih beroperasi. 
- Saya dan Nafisah menghabiskan lebih kurang RM 800 untuk perbelanjaan makan minum dan cenderahati untuk di bawa pulang kepada kenalan di Istanbul. 

8. Simkad : RM 72
- Bagi saya sangat mahal dan tidak memuaskan. Walaubagaimanapun ia sangat diperlukan untuk meudahkan pergerakkan. Lebih baik setiap seorang beli 1 simkad atau share 1 simkad 2 orang. Lebih dari dua orang mungkin sudah tidak berbaloi. 

Nilai perbelanjaan yang saya senaraikan di atas merupakan bajet individu. Sepanjang perjalanan kami menaiki teksi, mpv atau van panjang yang dipanggil Haist. Pergerakkan akan lebih jimat jika bergerak seramai 4 orang menggunakan teksi atau 10 - 11 orang menggunakan mpv atau Haist. Makan pun akan jimat sebab portion arab besar













Thursday, August 25, 2022

Jeddah - Mekah - Madinah - Jeddah

 

Siri 1 :
Perkongsian dari pengalaman trip kami ber11.

Kami sepakat menggunakan perkhidmatan PEGASUS untuk penerbangan menunaikan umrah. Rate tiket penerbangan pergi balik antara RM 1300 - RM 1600. Team kami seramai 11 orang, hanya 5 dari 11 yang beli tiket beserta luggage sebanyak 20kg/head. Penerbangan dari Airport Sabiha ke King Aziz, di Jeddah. Airline PEGASUS beroperasi di airport lama Jeddah. Dari sana tidak dapat la melihat akuarium tinggi di tengah-tengah airport kerana ia berada di airport baru Jeddah. Penerbangan dari Istanbul hanya mengambil masa selama 3jam 45minit. Untuk miqat umrah dari Istanbul kita boleh terus berniat miqat dari airport Istanbul. Jika bergerak dari Sabiha dinasihatkan agar tiba 5 jam lebih awal dari masa perlepasan.  Walaupun Sabiha merupakan sebuah airport yang kecil  tetapi ia terlalu sibuk sehingga terfikir sejenak adakah kami berada di pasar rabu Fatih!

Dari airport Jeddah kita boleh menaiki train laju ke Mekah, boleh juga menaiki bas SAPTCO. Tetapi kami memilih menaiki teksi ke Mekkah kerana bas mula beroperasi jam 9pagi. Teringat pesan mutawif online kami di Madinah kalau dapat harga seorang 50 riyal dah ok sangat tu, jalan terus.  Alhamdulillah first deal dengan pak arab tu kami dapat mpv harga 600 riyal (sar) yang memuatkan 11 orang penumpang. Memandangkan saya paling senior automatik saya dilantik menjadi ketua antara semua. Antara tugas saya pastinya naik transport terus pilih seat depan. :). Mindset bila datang Saudi ni perlu lebih berhati-hati dengan pak arab, ini pesan orang ramai dan pengalaman sendiri juga. So walaupun jam menunjukkan 2.45am saya terpaksa tahan mata sehingga yakin tiba dengan selamat ke hotel yang dituju. Sepanjang perjalanan sempat temu ramah driver teksi dan banyak juga dengar perbualan dia bersama kawan-kawannya melalui corong telefon. Rupanya dalam banyak benda yang dibualkan banyak juga fakta yang tidak  boleh dipercayai bulat-bulat. Macam mana tahu? Hasil sembang-sembang dengan beberapa orang selepas dia. Selepas hampir 2 jam dalam perjalanan kami pun sampai ke hotel yang dituju. Ar-Raqi Hotel terletak di atas bukit tidak jauh dari lapangan masjidil haram pintu belakang. Alhamdulillah first impression di kaunter pendaftaran menyamankan. Mana taknya, check in hotel sepatutnya jam 2 petang tetapi kami sampai jam 4.30am. Selepas berunding dia bersetuju memberi 2 bilik kosong yang available dan baki 1 bilik akan diberi selepas jam 2pm. 

Alhamdulillah hotel ni ada shuttle yang akan bawa client dia pergi balik masjidil haram 20 minit sebelum azan dan 20 minit selepas solat. So, kami terus naik bilik dan bersiap untuk menunaikan umrah selepas subuh. Subuh pertama di Mekah ditunaikan di hotel kerana subuh pada musim panas sekitar jam 4.30am. 


Memasuki masjidil haram melalui bab As Salam dan terus menuju ke mataf(lapangan Ka'bah). Dalam team kami ada dua orang yang pernah menunaikan umrah dibangku sekolah menengah. Secara tidak langsung mereka banyak menjadi tour guide ketika berada di masjidil haram. Setibanya di pintu mataf gementarnya hati melihat ka'bah buat pertama kali dan kerisauan andai berlaku kesilapan ketika tawaf dan risau perlu bayar dam. Antara tips yang suka saya share untuk first time umrah sediakan buku panduan mengerjakan umrah ia lebih mudah untuk kita follow step-step perlaksanaannya dan datanglah secara berkumpulan. Minimum berempat untuk kemudahan bergerak dan booking hotel bajet. Di Saudi kenderaan awam seperti bas sukar didapati yang paling mudah untuk akses ialah Uber dan teksi. Biasanya kami hanya akan buka apps uber untuk jadikan penanda aras harga sahaja. Dapat harga kami akan tahan teksi dan tawarkan dengan harga yang leib murah dari uber. Lebih untung kalau teksi yang kita tahan dah bagi harga 10 - 15 sar lebih murah dari uber. Diorang tak ada protokol sangat 5 orang hingga 6 orang pun kami sumbat lagi kalau kurus-kurus tapi 6 orang tu kesempatan untuk diorang up harga. So paling ramai 5 la. Hotel bajet pula sangat mesra untuk kelompok 4 - 5 orang sebilik. Semua hotel yang kami menginap ada katil lebih kerana walaupun kita request untuk 3 orang atau 4 orang kami tetap dapat bilik untuk 5 orang. Tapi nak duduk lebih dari 5 tak dapat pula. Diorang pun pandai juga cari duit bukan kita je pandai nak berjimat cermat.

(Sorry topik sudah lari. Saya dah pening nak susun cerita dan perkongsian ini bagaimana. Rasa nak cerita semua benda sebab banyak pengalaman bila main redah ni. Jadi izinkan saya bercerita tanpa format dan mengikut flow penceritaan yang saya cuba susun tetapi andai ia terlompat tajuk, hadamkan sahaja sehingga selesai dan anda memperolehi point dan panduan yang anda hajatkan ;). Saya nak break untuk maghrib sebentar...)

Perjalanan Menjadi Tetamu Allah


 Bersama 11 orang student Malaysia di Sabiha Airport, İstanbul


الحمد لله ثم الحمدلله
Seingat saya mengerjakan umrah dan menziarahi Mekah dan Madinah ada dalam wishlist sejak berumur 21 tahun ketika sama-sama menuntut di Sudan bersama abang.  Selepas abang dizinkan Allah mengerjakan haji dari Sudan niat itu semakin membara. Namun sehingga saya berjaya menamatkan pengajian selepas 5 tahun setengah di sana Allah tidak merezekikan saya menjejaki tanah haram itu. Hanya sekali saya direzekikan transit di Jeddah sebelum pulang ke tanah air. Saya senaraikan umrah sebagai salah satu doa yang ditangguhkan daripada 2 hajat besar dalam kehidupan saya sehinggalah selesai berkhidmat di MASDAR pada mei 2019. 
Atas janji bersama anak-anak didik pada September 2019 saya tetapkan kaki melangkah ke Turkiye  walaupun tawaran belajar belum saya terima. Umrah masih menjadi harapan walaupun duit belum berada dalam genggaman. Setelah hampir 3 tahun saya di Turkiye menghadapi onak dan duri kehidupan, covid 19, pengajian, kewangan. Isu ikametlah (resident permit) yang membawa saya kepada permulaan umrah.
Saya dan ikamet merupakan cerita yang tersangatlah panjang. Saat saya menulis, cerita ikamet ini telah pun sempurna semalam. Cerita ini akan saya lunaskan pada entri akan datang. Setelah pelbagai percubaan saya keluar masuk negara berkali-kali dan tidak berjaya akhirnya pada februari tahun ini saya terfikir  kalau saya pergi umrah dan saya kena band untuk masuk Turkiye dalam 3-4 minggu mungkin saya boleh survive di sana sebagai tukang masak kepada jemaah umrah dan haji atau apa-apa yang Allah izinkan. Dan mungkin juga ini jalan untuk saya bertemu sebentar dengan mak dan ayah memandangkan mereka juga akan mengerjakan umrah. Masa pun berlalu akhirnya mak dan ayah dijemput Allah pada bulan Sya'ban 1443h. Dalam tempoh 2 minggu mak dan ayah selesai umrah dan pulang semula ke Malaysia. Dalam perbualan melalui whatsapp yang menjadi rutin harian kami, mak selalu sampaikan yang mak dan ayah tak putus-putus mendoakan agar saya dan adik direzekikan mengerjakan umrah memmandangkan kami di Turkiye geografinya lebih dekat untuk menjejaki Kota suci itu berbanding dari Malaysia. Saya pegang doa mak pasti segera dikabulkan dan saya memuatnaikkan dalam kamus hati saya membawa adik bongsu itu sebagai amanah yang perlu dilunaskan. Dalam cerita kami sekeluarga angan-angan dan cita-cita berada jauh lebih tinggi dari wang ringgit yang kami punya. Saat itu saya tiada walaupun hanya RM 100. 
Adik-adik di Istanbul sudah lama bernyanyi dan menyuarakan hasrat untuk mengerjakan umrah tetapi saya biasanya akan berdiam diri dan melirikkan senyuman sahaja kerana dana saya belum ada. Tetapi atas motivasi mak saya terus menyuarakan dan membuka tawaran kepada adik-adik di Istanbul untuk mengerjakan umrah. Hasil persetujuan bersama adik-adik di FSM kami pun telah membuka group whatsapp.  Terjadilah perbincangan pertama kami secara face to face di depan Marmaray Station, Sikerci. 
Hasil perbincangan tersebut kami mula survey tiket flight ke sana. Alhamdulillah hasil keuntungan bisnes kargo pada mac dan april mampu menampung tiket flight Nafisah. Dalam fikiran saya andai Allah izinkan seorang sahaja sekurang-kurangnya adik saya yang akan pergi dahulu menyambut panggilan Allah. Kalau saya yang pergi dahulu pasti dia akan menanggung kesedihan berganda ditinggalakan di Turkiye. Tetapi Allah sentiasa ada dan mendengarkan hambaNya. Rezeki saya hadir dengan kelulusan duit simpanan akhir kwsp. Maka lunaslah 2 tiket flight kami berdua. 
Hal ikamet saya belum selesai di situ kerana selepas merujuk imegresen di Airport Istanbul saya perlu keluar lebih awal daripada apa yang saya rancang. Jadi kami susun lagi 1 trip ke Bulgaria. Alhamdulillah pergi dan balik tanpa membayar ceza(denda) tetapi sempatlah bersiar-siar bersama abang polis di sempadan Bulgaria Turkiye. 
Takdir Allah sehari selepas kepulangan kami dari Bulgaria Allah telah menjemput Ayah saya pulang ke sisiNya buat selama-lamnya. Satu pinjaman berharga dalam hidup ini  telah Allah tarik dari kami. Ini juga satu lauhan rasa yang saya hutang pada tahun ini. InsyaAllah rasa ini akan saya sematkan di dalam blog ini juga supaya ia tidak menghilang dan kebaikkan yang ada dikongsi. Kesedihan itu tidak dibiarkan lama kerana saya hanya diberi masa 10 hari untuk menyelesaikan isu ikamet saya. Dipendekkan cerita saya menghadapi kesulitan lain pula dalam proses mendapatkan ikamet tetapi disaat akhir Allah mendatangkan bantuannya maka umrah saya tidak lagi menjadi jalan keluar kepada isu ikamet tetapi ia merupakan tekad yang bulat dan solid untuk mempersembahkan ubudiyah kepada Allah semata-mata. 
Siapa sangka dan siapa tahu doa yang panjang itu dikabulkan dalam cara yang sangat indah dan cantik sekali. Berkah doaa mak ayah hanya selepas kepulangan mereka selama 143 hari sahaja kami berdua pula menyusul. Rezeki saya pada usia 35 tahun bersama adik bongsu saya pada usia dia 21 tahun dan itu merupakan hadiah kelahirannya yang sangat bermakna dari mak dan ayah. Andai Allah izinkan saya pergi lagi awal kemungkinan besar saya tidak dapat memaknai ibadah ini sepertimana yang saya rasai pada saat ini dan ia tidakan akan menjadi begitu bernilai seperti apa rasanya kini. Terima kasih Allah atas percaturan hidupku yang begitu indah.
6 ogos - 22 ogos telah menjadi antara sejarah terbaik dalam kehidupan ini. Hadiah yang cukup bermakna ini telah dilalui bersama 9 orang teman seperjuangan di Turkiye dan seorang tetamu istimewa dari Malaysia. Sesungguhnya aturan Allah itu pasti bukanlah yang terbaik buat hidup saya seorang. Ia juga merupakan aturan yang tersangat indah buat mereka kerana setiap kita ada cerita yang berbeza, perjuangan yang panjang dan akhirnya Allah satukan ceritera kita untuk kita berkongsi dan mendapat kebaikkan atas pengalaman kehidupan sesama kita. Manusia itu diciptakan berbeza untuk saling lengkap melengkapi dan menyempurnakan sesama kita.


Tentatif dan Kos perjalanan umrah akan menyusul di entri berikutnya. Berhenti untuk solat zohor seketika. Andai mood masih dalam track kita akan sambung hari ini juga insya Allah.

 Istiqamah itu sukar sebenarnya. Walaupun hanya untuk menjadi seorang penulis blog. Baru saya sedar ini entri pertama saya untuk 2022 setelah hampir 12 bulan berlalu dan menunda2.



Terdidik melalui ayat-ayatNya

  Pengajaran lalu membuatkan jari jemari terus manggapai laptop saat minda terilham idea. Melihat baby saya yang baru berusia 1 bulan 20...