Didikan Mak & Tauladan Ayah.
2023 membawa aku melewati pengalaman dan kenangan yang
sangat berharga sebelumnya. Kini aku melangkah setapak lagi kehadapan dengan
penuh keterujaan menanti bagaimana doa, hajat dan impianku disusun Allah!. İmpian ketika
di usia remaja yang aku senaraikan dahulu telah Allah kabulkan 1 per 1. Ada 1 sahaja lagi impian besar yang masih
aku nantikan bagaimana indahnya akan Allah perkenankan.
Kini aku mencipta impian baru bersama abang, dan adik-adikku
yang sentiasa menjadi pendengar dan menyokong dalam diam. Kami benar mewarisi mak ayah dalam membina impian, angan-angan dan
harapan. Kami tidak pernah disajikan dengan jutaan mahupun ribuan ringgit di dalam
simpanan tetapi Allah sentiasa memberi saat kami kebutuhan dan keperluan itu
datang. Terima kasih Allah sentiasa memayungi kami walau kami seringkali
berkhilaf dan alpa. Kami yang sering merungut saat teruji, yang sering meminta
tetapi seringkali tidak mensyukuri. Kami pohon agar rahmatMu sentiasa menaungi
langkah dan gerak kami dan kami semakin hari semakin tertingkatnya iman dan taqwa.
Didikan mak ayah sangat kami hargai. Mendidik kami dengan
penuh kasih sayang, kepercayaan, memberi pelajaran yang terbaik buat kami,
menjadi teman yang sentiasa mendengar keluh kesah kami, membakar semangat saat
kami kelelahan dan pasti jauh sekali menjatuhkan. Mak ayah memang tidak menghidangkan
kami dengan kemewahan wang ringgit, harta dan kemewahan dunia tetapi mendidik kami
dengan penuh khudwah kebaikkan dan ketulusan agar kami menjadi mulia dengan
islam dan bermanfaat untuk orang lain. Inıilah didikan termahal buat kami.
Walaupun hati ini seringkali tersakiti, tetapi itu fitrahnya sang perjuang kepenatan yang ada akan berlalu pergi tetapi kebaikkan itu akan sentiasa kekal dan membahagiakan.
Ayah telah pergi meninggalkan kami pada 9 Mei 2022. Hari
paling meruntun jiwa kami tetapi kami redha atas suratan takdir ini. Ayah adalah ayah terbaik buat kami. Kerinduan ini tidak akan padam hatta sehingga saat ini ayah terasa ada
untuk kami. Sehingga saat ini bualan aku bersama mak melalui corong telefon
akan sentiasa mengenang betapa terkesannya kami dengan peribadi dan didikkan
ayah. Mak akan selalu berkata: “Semoga doa ayah buat anak cucu dan keluarga kita
dikabulkan Allah”. Amin Ya Rahman.
Sejak dibangku ijazah kami dilepaskan merantau berdikari di benua Africa. Kehidupan yang mencabar dengan cuaca yang teramat panas dan serba kekurangan. Hiduplah kami berlima dalam
tempoh 13 tahun di Sudan silih berganti, Dari abang hingga adik ke 5 dalam urutan penuh adik beradik kami. Doa mak ayah, jiwa mereka sentiasa mengiringi gerak langkah kami.
Kepercayaan mereka membuatkan kami menjadi manusia. Walaupun hakikatnya kami seringkali berkhilaf tetapi mereka ada setiap kali kami jatuh dan
mengangkat serta memimpin diri kami untuk kami bangun kembali. Mak Ayah bukan
orang terpelajar tetapi mereka memberi pelajaran dan didikan kehidupan yang
sempurna buat kami. Tidak menuntut A dan kecemerlangan pelajaran sepanjang kami dibangku
sekolah hingga ke universiti. Hanya mereka pinta cinta kami pada ilmu tinggi dan
sentiasa ada rasa memberi semampunya kami. Sering mengangkat kami walau tiada A
yang kami berikan buat mereka. Kami tidak merasa rendah dan hina diri kerana
mereka selalu membuatkan kami merasa kami ini yang terbaik buat mereka. Sungguh aku amat
merindukan ayah yang tidak mungkin lagi aku temui di dunia ini. Aku rindukan
mak, adik beradikku ibubapa dan anak-anak saudara, sepupu-sepapat serta seluruh
keluarga dan mereka yang pernah hadir sebelum kehidupanku sebelum penghijrahan ini aku lakukan. Ketahuilah kalian semua ada dalam doaku dan aku sentiasa mengharapkan kebaikkan buat kalian. Sering
aku berharap agar dosa kita diampunkan, keaiban kita tersimpan rapi dan semoga kita
semua berada dalam lemmbayung perhatian Ilahi dan sentiasa diberi kejayaan dunia dan
ukhrawi.
Kini kami hanya punya mak yang masih Allah pinjamkan buat
kami. Doa kami agar umur mak dipanjangkan agar mak diberi kesihatan dan
kekuatan agar doa mak sentiasa ada buat kami dan roh perjuangan mak mengalir
deras dalam urat darah kami. Mungkin kami tidak seikhlas dan sekuat mak namun
kami cuba mencontohi mak dalam mengorbankan dirinya untuk mereka yang dikasihi.
Rahmatilah mak ayah kami Ya Allah. Kurniakan mereka firdaus al A’la. Ganjarkan
mereka dengan keindahan serta nikmat firdausMu yang tiada tandingan. Amin Ya
Rabbal Alamin. Semoga kami istiqamah atas jalan ini dan tidak tersasar darinya.
Azam dan impian aku menjelang tahun baru ini dan umurku yang
semakin dimamah bumi ini agar aku bisa lebih baik dalam banyak perkara:
1.
Membina tawakal seperti
fitrahnya seekor burung yang pasti akan keluar pagi mencari rezeki dan pulang
petang membawa rezekinya ke sarang. Itulah rezeki yang telah Tuhan janjikan dan
tidak pernah dimungkiri.
Azam ini lebih mudah ditulis tetapi praktikalnya dalam kehidupan harian sukar dilazimi. Saat hari ini iman terasa kuat seolah-olah kita benar-benar
dalam tawakal dan pengharapan yang tinggi. Keesoknya saat hati teruji kegelisan mula menjengah lagi. Namun, Allah dengan perhatiannya seringkali tidak membiarkan hati itu lama bermain rasa, pasti Allah tutup kerisauan
itu dengan sumber yang tak terduga. Thank you Allah. Kekallah memberi perhatian, kasih sayangMu buat kami yang penuh dosa noda ini.
3. Moga Allah merealisasikan
impianku untuk grad pada tahun ini dengan suksesnya dan melimpahkan keberkatan
ilmu buatku. Moga dengannya aku semakin tuduk ke bumi dan lebih memberi. Ia
juga akan menjadi kayu ukur untuk aku meletakkan selangkah tapak kehadapan atau cukup
setakat ini sahaja aku berdiri.
4.
Aku juga berharap agar aku kembali
dijemput Allah menjadi tetamunya bersama adik-adikku yang belum menjejak kaki
ke Haramain. Semoga murah rezekiku dan mereka.
5.
Akan aku melatih diri ini meletakkan
segala pergantungan diriku kepada Allah walau dalam sekecil-kecil perkara
kerana Allahlah yang mengizinkan segalanya dan kita tidak punya apa2 kecuali
Allah berkehendak.
Ini impian besar tahun ini! İmpian-impian lain terlalu banyak ingin dikongsi dan ada jua yang perlu menjadi rahsia untuk aku dan Sang Pencipta sahaja. Semoga impian-impian kita didorong Allah pada masa dan ketika terbaik untuk diperkenankan.
Terima kasih Allah untuk 35 tahun kehidupanku sebagai anak
kepada orang tuaku yang terbaik aku ada. Terima kasih Allah atas nikmat terindah
ini dibesarkan dalam kasih sayang serta perhatian
mereka.
Terima kasih Allah!!!
note: no2 itu yang hilang itu biarlah menjadi rahsia sehingga akhirnya ia tidak lagi disimpan sebagai rahsia diri.