Wednesday, October 28, 2020

Ada Apa Dengan Master ?

 Part 2 ...

Malam ni saya nak share tentang kehendak dan perancangan Allah mengatasi apa yang manusia itu rencanakan sekalipun dengan penuh ketelitian.

Saya apply 2 universiti pada mei 2020. FSM dan IZU. Antara 2 universiti ini saya lebih mengharapkan agar saya diterima belajar ke IZU kerana di IZU saya apply master "non thesis" manakala di FSM "with thesis". Jika di FSM ada pilihan untuk apply tanpa thesis saya mungkin tidak memohon ke IZU. Kedua-dua universiti ini juga menawarkan biasiswa sehingga 100%. Jadi saya berharap yang saya akan diterima ke IZU dengan 100% biasiswa tetapi jika di IZU saya ditawarkan tanpa biasiswa tetapi di FSM dengan biasiswa maka saya akan beralih arah ke FSM. Ini perancangan saya semata-mata. Selepas saya mendapat tawaran pengajian di FSM pada 9 oktober 2020 perancangan dan kehendak saya ketika itu perlu saya fikirkan semula. Maka, di sana bermulalah musyawarah bersama mak ayah, guru dan masyayikh saya. 

Menerima tawaran dengan bayaran yuran pengajian sebanyak RM 10,000.00 untuk keseluruhan pegajian sebenarnya tidaklah mahal. Tetapi bagi saya jumlah itu agak besar kerana dalam akaun bank saya hanya ada RM200 sahaja. Saya menghubungi mak dan mula berbincang, perbincangan pertama belum mendapat kata putus. Selepas itu saya menghubungi masyayikh yang saya kenal di Turki meminta khidmat nasihat mereka dalam keadaan saya masih belum mendapat jawapan dari IZU. Hasil perbincangan saya mulai redha yang saya perlu mengubah perancangan awal saya kepada satu kesepakatan hasil musyawarah saya. Saya sekali lagi menelefon mak dan menyatakan semua dapatan saya. Akhirnya mak minta saya menerima FSM. Saya bertanya kepada mak :"mak kalaulah kakak dah jawab ya pada FSM, tiba-tiba Allah izin kakak dapat IZU 100% biasiswa macam mana?" , jawapan mak ini pasti akan terpahat kuat diminda saya: " Itu ujian untuk kakak la. Yakinlah yang duit itu Allah punya, bila Allah berkehendak ia akan menjadi mudah bagi kita. Selama ni kakak tak ada apa-apa pun tapi Allah hantar kakak belajar sampai Turki." 

" Ya, selama kakak mengembara kakak tidak pernah ada apa-apa melainkan Allah lah yang merezekikan segala-galanya. Semua yang Kakak hajat Allah penuhi. " Inilah bisikanku dalam diri selepas mak memberi masukkan.

Selepas 2 minggu saya menerima tawaran dari FSM, tawaran ke IZU pun menyusul. Alhamdulillah saya diterima dengan biasiswa 15%. Tetapi takdir Allah telah tertulis rezeki saya di FSM. 

Awak bayar yuran pengajian awak dengan apa khalida? 

Saya memohon bantuan kewangan/ pinjaman dari NGO sebanyak RM 5,000.00 sebagai pendahuluan baki lagi RM 5,000.00 perlu dilangsaikan pada semester atau tahun berikutnya. Pendahuluan RM 5,000.00 telah saya terima walaupun saya sendiri belum pasti adakah duit itu berbentuk sumbangan atau pinjaman tetapi alhamdulillah urusan pertama saya telah selesai. 

Dan, hari ini alhamdulillah Allah hadirkan saya lagi dengan berita gembira. Saya tidak perlu lagi memikirkan baki RM 5,000.00. Allah telah kirimkan saya dengan kasih sayangNya rezeki yang tidak terduga. Terima kasih kepada mak cik yang saya kasihi kerana Allah. Semoga Allah merahmati kehidupan mak cik sekeluarga.

Inilah kehidupan!

Perjalanan hidup kita merupakan tarbiyah Allah secara direct atau indirect. Allah boleh menghantar bala tenteranya dalam pelbagai rupa untuk menjadikan sesuatu itu nyata. Di sisi Allah tiada satu pun yang mustahil. Oleh itu mohon dan mintalah kepada Allah kerana Allah itu sangat dekat pada hambaNya. 

Kembara baru saya di bumi Uthmaniyah ini baru sahaja bermula. Semoga Allah tidak berpaling dari mengasihi dan menyayangi saya. Semoga dengan segala nikmat dan kasih sayang Allah ini membuatkan saya menjadi hamba yang lebih bersyukur. 

Kembara ini juga lebih banyak jerih perih dan hutang budi yang saya kendong bersama. Semoga Allah pinjamkan saya kekuatan sehingga ke akhir perjuangan saya. Semoga ilmu saya berkah dan niat saya tidak lari dari matlamat yang saya letakkan di awalnya. Semoga lebih ramai yang mendapat manfaat dari hijrah dan kembari saya kali ini.

Sesungguhnya benarlah apa yang kita rasa baik untuk kita belum tentu ia baik untuk kita.

Dan sesungguhnya, perancangan Allah itulah yang terbaik buat hambaNya. 

Maka, mohon dan mintalah kepada Allah! Allah berfirman , yang mafhumnya berbunyi : "Mintalah kepadaKu nescaya akan Aku perkenankan." Jika bukan secara terus maka bersabarlah kerana Allah lebih tahu keperluan dan apa yang terbaik untuk hambaNya. 

Selamat menuntut ilmu Khalida, selamat menuntut ilmu juga untuk semua yang sedang menuntut ilmu. 

iyi geceler arkadaslarim :)

Friday, October 23, 2020

Ada apa dengan MASTER ?

 

Part 1 :

Kali ini menulis atas kapasiti bateri notebook yang ala kadar sahaja. Semoga terlepas semua yang ingin dinyatakan!

Perjalanan untuk menyambung pengajian di peringkat master untuk kali keduanya merupakan perjalanan yang sangat panjang. Pernah juga saya coretkan di entry2 sebelum ini. Doa mak dan ayah agar anak-anak mereka menuntut ilmu hingga ke penghujung usia ialah antara pokok pangkal saya berada di sini pada ketika ini. Mereka pendorong, pembakar semangat dan motivator terbaik untuk anak-anak mereka. Terima kasih Allah atas anugerah memiliki mereka sebagai mak dan ayah kami adik beradik.

Setelah menamatkan degre di Sudan, saya pulang ke tanah air dan terus memasuki alam pekerjaan. Pada ketika itu saya sudah nekad yang saya perlu terus menyambung pengajian dan tidak boleh terlepas lama dari alam pengajian kerana risau sel-sel saya tidak dapat berhubung lagi. Alhamdulillah selepas transkrip degree saya sudah berada dalam tangan saya terus apply untuk menyambung pengajian master secara "part time". Menjadi guru, warden, kemudian memegang jawatan ketua warden, PK sekolah dan dalam masa yang sama masih menyandang title pelajar master part time bukan sesuatu yang mudah. Tambah-tambahan saya seorang yang workaholic dan perfectionist. Kekadang ia menjadi penyakit dan kelemahan diri. Dipendekkan cerita, saya berjaya menamatkan 4 semester pengajian secara part time tetapi saya tidak sempat menyelesaikan thesis saya kerana tempoh maksimum pengajian telah tamat. Bila saya muhasabah diri, manusia boleh mencipta berjuta alasan dan boleh mencari berjuta peluang. Jadi, 35% ialah kesalahan saya kerana tidak  menyusun masa saya untuk menulis thesis dan melengkapkan pengajian saya. Atas pengalaman ini juga saya nasihatkan kepada muda mudi, jika sudah selesai degre dan ada peluang untuk menyambung pengajian di peringkat master teruslah dengan hajat kalian dan jadilah pelajar "full time" dan pekerja "part time". Faham tak? kalau tak faham pun buat-buat faham la ye.

Setelah hampir 8 tahun saya bekerja maka saya tekad untuk merealisasikan cita-cita saya menyambung pengajian ke Turki. Hajat ini tertanam sejak 2012 kerana mula jatuh cinta dengan susuk Erdogan. Pada awalnya hanya bercita-cita menjejak bumi Turki ini untuk mempelajari ilmu berbarista atau pastry sahaja tetapi ia berubah selepas 2,3 tahun. 2014 saya sudah menyatakan yang saya akan ke Turki untuk menyambung pengajian di peringkat master. Mungkin 2nd master.  Akhirnya mei 2019 saya telah menghantar surat cuti kepada mudir sekolah dan alhamdulillah cuti diluluskan. 

Awal jun sehingga pertengahan sept 2019 saya meluangkan masa bersama mak dan ayah di rumah sambil-sambil membuat sedikit jualan bagi mencari dana menyambung pengajian ke benua ini tetapi akhirnya dana yang terkumpul itu telah saya habiskan dengan menziarahi anak-anak didik saya di IPT semenanjung Malaysia. 

Azam saya kuat dan tidak luntur walaupun dalam tempoh masih berbaki 2 bulan sebelum tarikh yang kami sepakati untuk terbang ke Turki saya masih belum mendapat tawaran pengajian dari Fatih Sultan Mehmet sedangkan kumpulan anak-anak didik saya yang akan terbang bersama-sama semuanya sudah mendapat surat tawaran. Saya seorang yang pegang dengan janji. Saya perlu terbang bersama walaupun saya sahaja yang belum mendapat tawaran kerana saya sudah berjanji bersama mereka sejak mereka di tingkatan 2 lagi. Tetapi yang namanya manusia, saya sedikit goyah pada 3 minggu akhir sebelum melakukan penerbangan. Mana tidaknya, saya tidak mempunyai duit walaupun untuk membeli tiket penerbangan. Saya katakan pada mak: "Mak kalau kakak tak pergi Turki, kakak sambung belajar di Acheh, ya." Mak tenang menjawab : " Insya Allah, kakak akan pergi ke Turki". Cukup hanya 1 ayat daripada mak, Allah izin semangat saya kembali pulih. Alhamdulillah Allah rezekikan saya membeli tiket penerbangan, menguruskan hal ehwal kehidupan saya di sini, dan cukup untuk saya membayar yuran pengajian bahasa turki selama 2 semester. Maha Kayanya Allah, saya tidak punya harta tetapi Allah rezekikan saya manusia sekeliling yang sangat baik dan menyayangi saya. Melalui mereka Allah rezekikan saya memijak bumi dua benua ini. Terima kasih Allah kerana mendidik saya mengimani rahmat dan kasih sayangMu kepada hamba. 

Tahun pertama di Turki saya menghabiskan masa dengan mengikuti kelas persediaan bahasa Turki selama 3 semester, menyertai misi kemanusiaan di sempadan Turki Syria, menyertai program-program MASAT, menerokai pasaran Istanbul dan membina diri dengan mempelajari selok belok perniagaan dalam Istanbul dan Import Eksport Istanbul Malaysia. 

Mei 2020, Saya masih mencuba dan terus mencuba. Saya apply sekali lagi ke Fatih Sultan Mehmet (FSM) dan saya mencuba nasib ke Sahabatain Zaim University (IZU). Dalam kajian saya hanya 2 uni ini yang menawarkan pengajian deniyah dengan perantaraan bahasa arab dan yuran yang bersesuaian dengan kemampuan saya. Ramai juga yang pelik dan tidak yakin dengan saya kerana melihat diri saya yang terlalu yakin. 

Terlalu yakin yang saya akan dapat apa yang saya hajat...

Perjalanan hidup saya yang Allah titipkan ini mendidik saya meyakini yang Allah itu sentiasa ada dan akan sentiasa memakbulkan doa hambaNya tepat pada masa dan ketikanya. Saya percaya dan saya sangat yakin kerana dalam jatuh dan bangun saya Allah tidak pernah biar saya tanpa rahmat dan kasih sayangNya. Segala hajat dan doa saya dikabulkan 1 per 1. Disetiap pengharapan dan hajat itu Allah hadirkan didikanNya. Walau dalam kelalaian diri kita sebagai manusia, dalam dosa yang kita sedar mahupun tidak Allah masih penuh dengan rahmat dan kasih sayangNya yang tiada tandingan. 

Namun hakikat hamba ini sekuat mana pun dia , dia akan tetap diuji. Dalam menyatakan yang didikan ini membuatkan keyakinan saya bertambah, saya tetap tergelincir sekali dua. Saya nyatakan kerisauan kepada mak: "andai kakak masih tidak dapat menyambung pengajian pada tahun ini, kakak akan stay lagi 1 tahun untuk pinjamkan kekuatan kepada adik-adik yang bersama kakak selepas tu kakak akan balik Malaysia". Mak masih dengan keyakinannya dan sangat menenangkan. Insya Allah , Allah akan bagi yang terbaik selepas apa yang kakak usahakan. Dengan peringatan itu , saya kembali berharap dan berdoa. Alhamdulillah, tanggal 9 oktober 2020 email dari FSM masuk ke inbox yahoo saya dan akhirnya saya diterima sebagai penuntut di Universiti mereka. 

Kembara saya baru bermula dengan doa dan harapan orang-orang yang saya kasihi. Terima kasih semua yang tidak putus-putus mendoakan , terima kasih atas vibes positif dari kalian. Terima kasih Allah atas hadiah ini. Semoga hambaMu ini semakin bersyukur....

sehingga bersambung lagi, bateri saya dah nyawa-nyawa ikan :)


Terdidik melalui ayat-ayatNya

  Pengajaran lalu membuatkan jari jemari terus manggapai laptop saat minda terilham idea. Melihat baby saya yang baru berusia 1 bulan 20...